Saturday, January 22, 2011

Alkisah Minggu Pertama Kuliah...

Selamat malam dan salam 1 Malaysia...
Teringat pula pada minggu pertama ke kuliah. Bagi orang lain itu minggu kedua tapi bagi kami yang lewat menghadirkan diri ke kuliah, itulah minggu pertama dan segalanya menjadi tidak keruan. Kisahnya bermula apabila saya dan kawan saya (Rabiaatul Adawiyah) yang awal-awal lagi tersalah masuk bas untuk ke dewan kuliah. Pada mulanya, kami begitu yakin sekali bahawa bas yang dinaiki tepat dan menuju ke destinasi yang dikehendakinya. Entah bagaimana dua orang kawan yang kami tunggu (Kon Lee Pei & Christina Hulo) masih tidak naik walaupun dipanggil berulang kali. Saya dan Rabiaatul pun berasa kehairanan yang teramat sangat lantas dia bertanyakan soalan :
" Deng, betul sik bas yang kita nait tuk?" ( Sayang, betul ke bas yang kita naik ni ?)- Panggilan deng memang dah sebati dalam jiwa kami dan menunjukkan kerapatan hubungan yang terjalin.
Saya pun lantas menjawab,
"Aie, betul la deng. Kenak dak dua ya sik pande masuk?" (Ya, betul la sayang. Kenapa mereka berdua tidak masuk?)
Sementara, Pei berterusan melambaikan tangan dan menunjukkan isyarat yang saya sendiri pun tidak faham. Saya menjadi lebih binggung apatah lagi apabila si Chris menunjukkan tanda pangkah. Saya dan Rabiaatul pula sempat melambaikan tangan dan beranggapan yang kami akan bergerak terlebih dahulu daripada mereka. Sehingga tiba saatnya, si Lee Pei pantas menunjukkan telefon bimbit kepada saya untuk menjawab panggilannya.
"Bie kitak dua salah nait bas. Bas ya agak Pintu Timur," ( Bie, kamu berdua salah menaiki bas. Bas itu menuju ke Pintu Timur)
Saya dan Rabiaatul pun turun mendapatkan mereka dengan perasaan sedikit malu berikutan ramai mata yang memandang. Lantas kami saling berpandangan dan ketawa terbahak-bahak mengenangkan kisah yang dialami sebentar tadi. Semangat hari pertama ke dewan kuliah mambawa 1001 kelucuan yang tidak akan dilupakan sampai bila-bila.

Bahasa Tidak Mengenal Orang

Salam..
"Muka awak macam Cina la.Awak bangsa apa ye dan ambil course ape?" Lantas saya pun terus menjawab, "Saya ambil jurusan Pendidikan Bahasa Melayu," Lelaki itu pun terkejut sambil matanya terbeliak besar. "Awak biar betul. Power nye awak ambil Bahasa Melayu. Saya yang Melayu nie pon tak  teror sangat. Ala kadar je. Awak bercakap pon langsung tak ade slang," Saya terus tersenyum dan menjawab lelaki itu lagi, "Orang Melayu sahaja ke yang boleh ambil kursus ini dan fasih menggunakan bahasa Melayu?" Lelaki itu hanya tersengih dan dalam masa yang sama mengakui kebenaran yang saya lontarkan sebentar tadi.
Lantaran itu, melalui pertemuan saya dengan sahabat baru ini, ingin sekali saya kongsikan bersama bahawa bahasa sebenarnya tidak mengira orang, umur, bangsa, pangkat dan darjat sekalipun. Kemungkinan besar sahabat baru saya itu terkejut apabila mengetahui yang saya mengambil Pendidikan Bahasa Melayu sebagai subjek major saya di UPSI ini. Bagi saya, tidak ada apa-apa pun yang perlu dihairankan jika ada kaum lain atau bangsa lain yang petah menggunakan bahasa Melayu. Bukankah pendidikan kita hari ini mengutamakan bahasa Melayu dalam melahirkan modal insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang? Maka, saya menyahut cabaran itu dan membuktikan kepada masyarakat bahawa orang bukan Melayu juga boleh setanding dengan orang Melayu dalam berbahasa. Justeru, saya mengambil jurusan Bahasa Melayu ini kerana minat saya memang cenderung dalam bidang linguistik yang membincangkan ilmu-ilmu bahasa. Berbalik kepada isu utama yang ingin saya bincangkan, tegasnya kita berbahasa bukan melihat kepada individu yang diajak berbual/berkomunikasi/berbahasa. Sebaliknya, kita perlu menyedari bahawa setiap insan yang dilahirkan sama ada kaum India, Cina serta etnik-etnik di Sabah dan Sarawak boleh berbahasa terutama bahasa Melayu memandangkan ianya merupakan bahasa utama dan termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.

Salah Tafsir

Salam perpaduan, salam sejahtera dan salam 1 Malaysia.
Mungkin ramai di antara kita yang sering mentafsir luaran seseorang sehingga kita lupa untuk melihat dalamannya. Begitu juga dengan diri saya. Kejadian ini  pernah saya alami. Walau bagaimanapun, kita sebagai manusia tidak lari dari kekhilafan yang kita sendiri tidak pernah menyedarinya. Kisah ini berlaku semasa saya dengan seorang kawan mengikuti kelab badminton di UPSI. Pada masa itu, pensyarah kami, Encik Farid melakukan penilaian untuk kali yang terakhir. Tiba-tiba saya dan seorang kawan (Christina Hulo ) didatangi salah seorang daripada rakan kami yang sering bermain badminton dengan Chris dan juga saya sendiri. Lantas semasa dia duduk bersebelahan dengan kami, dia pun mengusik mesra si Chris dengan memukul lembut kaki Chris menggunkan batang raketnya itu. Saya pula terus mengusik Chris menggunakan bahasa Iban,
"Chris, ka k d laki nya. nya ya ngacau," (Chris, lelaki itu nampaknya sukakan awak.)
Apabila lelaki itu mendengar saya bercakap sedemikian lantas dia terus menyepak sedikit kaki saya menyebabkan saya kehairanan. Saya tertanya-tanya di dalam hati, apakah lelaki ini memahami apa yang dituturkan oleh saya sebentar tadi sedangkan dia merupakan orang Terengganu dan berketurunan Melayu. Lelaki itu pula menjawab, "Nadai deh" dalam bahasa Iban yang bermaksud "Tak lah". Saya terus kebinggungan apabila mendengar lelaki itu boleh bertutur dalam bahasa Iban sehingga kawan saya Chris mula bersuara. Si Chris pun bertanya macam mana dia boleh bertutur bahasa Iban sedangkan dia berasal daripada Terengganu.Jadi,lelaki itu mula bercerita bagaimana dia dahulu pernah bercampur dengan masyarakat Iban sehingga boleh memahami bahasa itu secara mendalam. Pergaulannya dengan masyarakat Iban bermula apabila dia mengikuti abangnya yang menjadi Penolong Kanan di salah sebuah sekolah di bahagian Sri Aman Sarawak lalu bersekolah di situ selama dua tahun semasa Tingkatan 6. Tambahan pula, kakak iparnya juga berbangsa Iban. Dia mula tertarik dengan masyarakat Iban apatah lagi semua kawan-kawannya pada masa itu berbangsa Iban. Dan menurutnya lagi, sehingga sekarang dia tetap boleh berbahasa Iban kerana bahasa itu juga telah sebati dengan dirinya.
Saya dan Chris saling berpandangan dan tersenyum mengenang kembali perbuatan kami yang sering mengata lelaki itu dalam bahasa Iban. Semenjak dari hari itu, saya, Chris dan lelaki itu terus berbual dalam bahasa Iban dan menjadikan hubungan kami lebih mesra. Saya pula sangat mengaguminya kerana dapat menguasai bahasa iban dalam masa yang singkat dan mengamalkan kehidupan seperti juga masyarakat Iban. Anatara perkataan yang dituturkannya pada masa tersebut :
* makai = makan
*nyamai = sedap
*manah = bagus
*pedis = sakit
*nyabak = nangis
Banyak lagi yang dapat dituturkannya pada waktu tersebut dan membuatkan saya menghormatinya sebagai kaum lain yang boleh mendalami bahasa orang lain, bahasa yang jarang-jarang sekali didengarinya sebagai masyarakat di Semenanjung.

Pengajaran : Jangan menilai daripada luaran sebaliknya cuba belajar untuk mendalami seseorang itu.
Sekian.

Friday, January 21, 2011

Budi Bahasa Budaya Kita

Salam perpaduan, salam sayang dan salam 1 Malaysia..
Mungkin ramai yang tidak menyedari bahawa kita sebenarnya dinilai daripada bahasa dan cara kita menggunakannya. Daripada bahasa, orang lain boleh mengetahui diri kita seperti mana sifatnya dan seperti mana perilaku yang sebenar. Terdetik pula di hati saya untuk mencoret di sini berkenaan perilaku yang amat mengecewakan apabila seorang pekedai yang langsung tidak menghormati saya dan kawan saya sebagai pelanggannya. Dipendekkan cerita, bahasanya yang biadap dan perilaku yang kurang sopan menimbulkan rasa yang amat marah dalam diri saya dan juga kawan saya itu. Tetapi saya biarkan sahaja dan pendamkan di dalam hati. Semasa masuk di kedai tersebut, lantas dia pun bertanyakan soalan seperti ini,
"Amoi, u nak beli apa moi?" Sambil matanya tidak lepas memandang saya dan rakan saya itu dari atas sampailah ke bawah. Kemungkinan pekedai lelaki itu beranggapan bahawa saya merupakan orang Cina dan membahasakan saya sebagai  'Amoi' yang kebiasaannya sering digunakan dalam masyarakat Cina. Perbuatan pekedai tersebut amat tidak menyenangkan apatah lagi matanya yang sengaja dikenyit-kenyitkan untuk menarik perhatian. Saya mula berasa meluat tetapi apakan daya saya sudah terlanjur membeli barang keperluan di kedai tersebut. Kebetulan pada masa tersebut, saya ternampak akhbar yang memaparkan gambar Ketua Menteri Sarawak yang baru sahaja melangsungkan perkahwinan keduanya. Kemungkinan pekedai tersebut memerhatikan gerak-geri saya lantas dia bersuara lagi, "Amoi, apa nak heran? Jangan lu piker dia sudah tua tidak kuat lagi maa.." Saya berasa sangat geram lantas saya menyuruh pekedai tersebut cepat-cepat mengira harga barang kesemuanya. Dalam masa yang sama, pekedai itu berterusan mengeluarkan bahasa yang amat tidak sopan dan tidak menghormati orang lain. Lantas, saya yang tidak tahan lagi dengan keadaan itu pun bersuara,
"Boleh tak awak jangan berbasa-basi dengan saya? Kalau awak masih berterusan, saya akan biarkan barang-barang itu tanpa dibayar sekalipun." Pekedai itu pun mula menunjukkan muka tersengihnya dan masih juga tidak menampakkan sebarang rasa bersalahnya. "Moi, jangan U marah moi.Nanti u cepat tua maa.."
Saya yang langsung tidak mengendahkannya berlalu dengan hati yang geram dan marah. Saya berjanji yang itu merupakan kali pertama dan terakhir saya membeli barang keperluan di kedai tersebut.

Pengajaran : Belajarlah menghormati orang lain dan menggunakan bahasa yang sopan serta tidak keterlaluan dalam menjalinkan perhubungan sesama kita.

Sekilas Pandangan...

Salam sejahtera dan salam 1 Malaysia..
Bak kata orang, bahasa melambangkan budaya. Dari bahasa kita bertutur dan dari bahasa juga kita mengenali masyarakat di persekitaran. Kita bertuah duduk di bumi yang berbilang masyarakat dan berbilang juga bahasanya terutama masyarakat Sabah dan Sarawak yang sedia maklum dengan kepelbagian etnik yang mempunyai bahasa yang masing-masing. Namun hanya satu, bahasa menjadi penyatu dan memainkan konteks yang amat penting dalam budaya hidup bermasyarakat. Melalui bahasa, kita berkomunikasi, melalui bahasa jugalah kita mengenali antara satu sama lain lantas merumpun satu bangsa yang sangat konkrit dalam kehidupan sehari-harian. Yang jelas dan hakikinya, bahasa merupakan medium yang menghubungkan dan menyatukan masyarakat di mana-mana jua berada tidak kira di Malaysia malah di seluruh pelosok ini. Maka, berbahasalah kita sebaik-baik mungkin kerana bahasa merupakan petua utama hidup bermasyarakat.