Tuesday, February 22, 2011

Situasi 9 : Tawar Menawar

Peristiwa ini berlaku di pekan Tanjong Malim pada suatu petang yang indah. Saya dan kawan saya Kon Lee Pei berhasrat untuk berjalan-jalan di sekitar pekan memandangkan pada hari tersebut merupakan hari cuti. Lee Pei kemudiaannya mengajak saya untuk masuk ke sebuah kedai jam yang terdapat di pekan tersebut. Pada mulanya saya tidak berapa tertarik untuk masuk ke kedai tersebut tetapi setelah melihat dan meneliti jam-jam yang dipamerkan di kedai tersebut,tiba-tiba saya terlihat sebuah jam yang sangat cantik dan menarik perhatian saya. Apabila melihat kepada harganya, saya rasa sangat terkejut. Betapa mahalnya jam tersebut. Lee Pei sempat membandingkan harga jam tersebut dengan harga seurat gelang tangan emas. Walau bagaimanapun, saya tetap menyimpan hasrat untuk membelinya dan pada masa itu, saya cepat-cepat teringat kata-kata seorang pensyarah yang pernah menyatakan bahawa dalam hidup ini kita perlu bijak berunding dengan orang lain. Maka, bermulalah cerita antara saya, Lee Pei dan penjual jam tersebut dan berlakulah juga percampuran bahasa yang lebih kepada bahasa pasar.
Saya : U jual ini jam berapa?
Penjual : RM ***
Saya : Mahalnya. Tak boleh kurang ka??
Penjual : Ini sudah murah maa..
Lee Pei : @#$%^&*@#$%^&*@#$%%^&* (Bercakap menggunakan bahasa Cina dengan pekedai tersebut. Saya pula hanya mendengar perbualan mereka.)
Saya : U kasi la murah sikit. U untung saya pon untung.
Pekedai : Haiya..20 % la kasi U.
Saya : Kurang sikit lagi boleh tak??
Pekedai : Kurang lagi?? (sambil ketawa) Susah ooo...
Saya : Mana ada susah. U just turunkan sikit lagi la.
Pekedai : Berapa U mau??
Saya : About 50 % diskaun.
Pekedai : Wah..!! Sudah sepaluh harga maa..
Saya : Tak apa la. Sekali sekala U bagi diskaun dekat saya.
Pekedai : Hurmmm...boleh la..( Sambil ketawa )
Lee Pei : @#$%^&*&^%$#@#$%^&* ( Masih bertutur bahasa Cina dengan pekedai tersebut dengan mesra)
Berdasarkan situasi yang dialami di atas, ia bukan sahaja berkaitan dengan penawaran harga tetapi bagaimana penggunaan bahasa dalam masyarakat majmuk yang terdapat di Malaysia. Masyarakat bukan Cina kebiasaannya cenderung menggunakan bunyi dan tiun seperti bahasa orang Cina semasa berinteraksi dengan mereka. Amat diakui penggunaan bahasa yang formal dan rasmi dalam penggunaan konteks seharian agar payah dilakukan kerana masyarakat sudah biasa dengan penggunaan bahasa pasar yang dilihat semakin meluas abad ini. Justeru, elakkan penggunaan bahasa rojak yang bercampur-aduk kerana ia akan memusnahkan bahasa Melayu itu sendiri suatu masa nanti. Sekian.

Monday, February 21, 2011

Situasi 8 : Perkenalan Baru

Sepanjang cuti Tahun Baru Cina beberapa minggu yang lepas, saya mengahabiskan masa bercuti di Ipoh bersama-sama dengan suami. Namun, cerita yang ingin disampaikan ialah berkaitan dengan perkenalan saya dengan seorang gadis Sabah yang pada mulanya saya anggap sombong dan tidak suka bertegur dengan orang lain. Gadis Sabah tersebut merupakan buah hati kepada kawan suami saya dan namanya ialah Emily. Saya sudah lama mengenali Emily tetapi kami langsung tidak pernah bertegur sapa dan sebelum ini hanya lemparan senyum sahaja di antara kami berdua. Namun, perjumpaan suatu hari di rumah abang saya telah menjalin hubungan yang rapat antara kami berdua. Emily rupa-rupanya seorang yang sangat peramah dan mudah didekati. Saya pula tidak berasa kekok untuk melayan setiap pertanyaan yang diajukan olehnya walaupun kadang-kadang sukar untuk difahami loghat Sabahnya yang pekat itu.
Emily : Besar sudah anak kamu Mag. (Tiun dan bunyi loghat Sabah)
Saya  : Ya. Umur dia baru setahun 8 bulan. Tapi dia tue 'chubby' sikit.
Emily : Ya ba Mag.. Geram sa tgk dia. Best kan Mag ada baby yang cute tue. Tapi muka si Xavia tue Mag, sekali macam si Cester.
Saya  : (tergelak) Ko sama Lary bila lagi mok kawen?
Emily : Ermm..tak tau lagi la Mag. Nanti ada juga sa beritahu.
**********(petikan sebahagian daripada perbualan)***********

Melalui perbualan saya dengan Emily, ternyata dapat saya simpulkan bahawa loghat masyarakat Sabah sememangnya pekat sama ada dalam perbualan rasmi atau tidak rasmi. Saya yang berbual dengan Emily turut terikut-ikut dengan bunyi loghatnya yang kadang kala bahasa pula bercampur dengan penggunaan bahasa Inggeris. Begitulah perbualan yang melibatkan individu sehari-harian tanpa kita sedari penggunaan bahasa yang terkeluar daripada mulut kita sendiri. Namun, kemungkinan terdapat perbezaan bahasa jika digunakan dalam konteks rasmi dan tidak rasmi. Dalam erti kata lain, penggunaan bahasa akan berbeza mengikut tempat dan situasi. Walau bagaimanapun, saya gembira kerana dapat berkenalan dengan Emily yang baik dan peramah orangnya.

Situasi 7 : Kerani Sekolah

Proses memilih sekolah untuk dijadikan tempat praktikum pada semester depan menjadi isu hangat kebelakangan ini. Begitu juga dengan diri saya dan rakan yang sama berpraktikum dengan saya iaitu Kon Lee Pei. Untuk mendapatkan kepastian daripada sekolah tersebut, saya dan Kon Lee Pei memberanikan diri untuk menghubungi pihak sekolah sama ada mereka menerima ataupun tidak pelajar yang hendak menjalankan praktikal di sekolah tersebut. Pada mulanya, saya akui memang gugup untuk menghubungi pihak sekolah apatah lagi bertanyakan soalan tersebut. Tetapi saya cuba memberanikan diri juga. Kami telah menghubungi salah sebuah sekolah di Kuala Kangsar, Perak yang namanya terpaksa dirahsiakan untuk menjaga nama baik sekolah tersebut. Kisahnya bermula :
Saya    : Helo
Kerani : Helo (Dengan nada yang seolah-olah marah dan terpaksa melayan)
Saya    : Boleh saya tahu, ini sekolah ******** ?
Kerani : Ya lah. Ada ape?
Saya yang pada masa itu terus kecut hati dan terkesima sekali dengan jawapan kerani yang menyambut panggilan tersebut. Seolah-olah kerani tersebut terpaksa menjawab apatah lagi dengan bahasanya yang tidak seperti berada dalam sebuah organisasi yang formal dan perlu menghormati setiap pelanggannya. Saya agak kecewa kerana layanan kerani tersebut tidak wajar walaupun kami tidak pernah bertemu antara satu sama lain tetapi biarlah bahasa yang digunakan itu tidak terlalu kasar dan boleh menyinggung perasaan orang lain. Tambahan pula, pihak yang dihubungi kami merupakan pihak pentadbiran sekolah dan jika ini sikap yang ditunjukkan oleh staf-staf sokongan dalam organisasi sekolah itu, sudah semestinya sekolah yang akan mendapat nama buruk. Sekian.

Situasi 6 : Taklimat Praktikum

Terkenang kembali semasa taklimat praktikum seminggu yang lepas, pelbagai reaksi daripada rakan-rakan muncul kembali di benak saya. Ada yang lucu dan ada juga situasi yang menjadi tegang. Semuanya serba ada. Semasa taklimat praktikum Fakulti Bahasa dan Komunikasi program Bahasa Melayu yang dikendalikan oleh Encik Nik Hassan Basri selaku penyelaras praktikum fakulti, ia mengundang pelbagai reaksi yang positif dan negatif. Taklimat tersebut juga dihadiri oleh Ketua Jabatan iaitu Dato' Paduka Dr. Rosli Saludin serta pensyarah saya sendiri Dr. Siti Saniah. Kisahnya bermula apabila Encik Nik Hassan Basri memberikan peluang kepada kami untuk bertanyakan soalan tentang hal praktikum ini. Kawan saya, Nor Aliza seterusnya menjadi wakil dalam kumpulan kami di barisan belakang untuk bertanyakan soalan tentang penempatan praktikum yang hanya menempatkan di beberapa buah negeri sahaja. Isu itu menjadi isu hangat kerana pelajar-pelajar sukar untuk mencari tempat praktikum yang dirasakan bersesuaian dengan diri sendiri. Persoalan yang ditimbulkan oleh Nor Aliza ini telah membuatkan dewan kuliah DKC menjadi gamat dan kecoh apatah lagi disambut dengan tepukan meja oleh beberapa rakan yang lain yang bersetuju dengan kenyataan Nor Aliza ini. Keadaan pada masa tersebut seolah-olah seperti orang politik di dewan Parlimen. Tidak tahan dengan keadaan tersebut, Ketua Jabatan terus bersuara :
'Berbicaralah dengan sopan dan jika tidak berpuas hati, angkat tangan dan tidak perlu menepuk-nepuk meja. Perbuatan seperti itu tidak ubah seperti orang politik.'
Kami pun rasa bersalah dan ada juga kebenaran di sebalik teguran oleh Ketua Jabatan kami sebentar tadi. Sepatutnya perilaku dan bahasa yang digunakan perlu dikawal walaupun kita tidak suka dengan sesuatu keadaan yang mungkin menimbulkan perasaan tidak puas hati. Sekian.

Situasi 5 : "Ade ku Kesah !!'

Seperti biasa, berebut-rebut menaiki bas sememangnya sudah menjadi lumrah di institut pengajian ini. Apatah lagi jika semua pelajar pulang kuliah dan ketiadaan bas benar-benar menyukarkan keadaan. Saya sering kali mengalami peristiwa ini dan pernah suatu hari semasa pulang kuliah dari Proton City, begitu banyak pelajar yang menunggu bas dan keadaan pada masa itu sangat sesak dan sibuk. Bukan tiada bas tetapi pemandu bas sengaja menutup pintu dan tidak membenarkan pelajar masuk walhal banyak pelajar ketika itu. Sikap pemandu bas ini bukan sahaja keterlaluan tetapi menyusahkan pelajar-pelajar apatah lagi tidak sampai sejam, saya dan rakan-rakan yang lain ada kelas di tempat lain iaitu di Taman Bernam. Kami pada mulanya ingin segera sampai di dewan kuliah memandangkan jarak waktu yang sangat pendek. Namun, sikap pemandu bas yang sambil lewa menyukarkan keadaan dan ditambah pula dengan keadaan yang sesak dengan pelajar. Sebaik sahaja pintu bas yang pertama dibuka oleh pemandu bas itu, kelihatan semua pelajar berpusu-pusu meluru ke arah bas itu untuk masuk segera. Walau bagaimanapun, sebelum sempat kaki salah seorang pelajar menaiki anak tangga yang pertama itu, seorang pemandu bas berbangsa India segera menahan di muka pintu.
'Hey, kamu semua nak pergi mane nie??' ( muka yang agak kasar dan memperli )
Saya pantas menjawab kerana pemandu bas itu seolah-olah mempermainkan kami yang ingin segera ke dewan kuliah.
'Kami nak cepat nie. Pukul 2 petang ini kami ada kelas di Taman Bernam. Sekarang sudah pukul 1.15.'
Dengan angkunya, pemandu bas itu menjawab, 'Ade ku kesah !!'
Saya pun mula terasa dipermainkan dan pada waktu yang sama saya ingin melenting tetapi mengingatkan perilaku di depan orang ramai, saya perlu mengawal tingkah laku walaupun hati saya sakit. Begitu juga dengan rakan-rakan yang lain.
Bagi saya, sikap pemandu bas yang sengaja melewat-lewatkan perjalanan bas ke destinasi amat menyukarkan keadaan kami yang ingin segera sampai ke dewan kuliah. Apatah lagi bahasa yang digunakan seolah-olah sengaja menjatuhkan air muka orang menunjukkan mereka ini mempunyai sikap yang tidak menghormati orang lain. Bak kata orang, bahasa itu menunjukkan bangsa. Maka, janganlah kita memperlekehkan orang lain dengan bahasa yang tidak elok didengar. Sekian.