Percaya atau tidak, bahasa mempunyai kekuatan untuk menjalinkan perhubungan yang baru tidak kira sama ada dengan sahabat yang baru dijumpai, saudara mara serta orang-orang yang berada di persekitaran kita. Bahasa memainkan peranan yang amat penting yang membolehkan kita berinteraksi dengan orang lain sekaligus mewujudkan sebuah hubungan yang erat dan rapat. Bahasa sebenarnya telah mempertemukan saya dengan rakan-rakan lain yang berasal dari seluruh negeri di Malaysia ini. Bahasa telah menjadikan kami satu iaitu kawan untuk selama-lamanya. Kemasukan ke UPSI ini membolehkan saya berjumpa dengan kawan-kawan baru yang berasal dari serata tempat di Malaysia. Misalnya, saya berkawan dengan Liza dan Fariz yang berasal dari Perak, Fawiz orang Kelantan, Johnston dari Sabah, Atul, Chris dan Lee Pei yang berasal daripada Sarawak dan ramai lagi. Walaupun kami berlaianan latar belakang, namun kami tetap bersatu sebagai kawan. Dan daripada bahasa kami terus menjadi kawan sehingga ke hari ini. Sesungguhnya merekalah insan terpenting buat diri saya dalam melalui kehidupan yang jauh daripada keluarga dan saudara mara nun di seberang sana.
Bicara Pujangga Ilmu
Monday, March 14, 2011
Situasi 39 : Mari Belajar Dialek
Pada kelas Semantik dan Pragmatik beberapa minggu yang lepas, saya telah belajar tentang dialek bagi sesebuah negeri untuk mengungkapkan satu patah perkataan dalam bahasa Melayu. Dialek merupakan variasi daripada sesuatu bahasa tertentu dan dituturkan oleh sekumpulan masyarakat bahasa tersebut. Dialek ditentukan oleh faktor geografi dan juga sosial. Semasa kelas Semantik dan Pragmatik tersebut, kami belajar dialek untuk kata ganti nama diri bagi setiap negeri. Misalnya ialah perkataan ‘saya’ atau ‘aku’ :
Kelantan = Ambo
Kedah = Hang
Sarawak = Kamek
Terdapat beberapa contoh dialek yang telah kami pelajari. Ada yang mempunyai persamaan dan ada juga perbezaannya. Daripada dialek ini, kita dapat mengkaji serba sedikit dan membuat perbandingan antara satu dialek dengan dialek yang lain. Belajar dialek merupakan satu perkara yang sangat seronok.
Situasi 38 : Kesalahan Sebutan
Kesalahan sebutan dalam bahasa Melayu sudah menjadi lumrah dalam masyarakat kita pada hari ini. Kesalahan bahasa ini bukan sahaja tertumpu kepada ejaan, malah sebutan turut menghadapi masalah kerana pengaruh bahasa Inggeris yang kuat. Sistem ejaan telah menetapkan bahawa sebutan kata pinjaman daripada bahasa Inggeris hendaklah menurut sistem bunyi dalam bahasa Melayu. Berikut beberapa kesalahan yang sering dilakukan oleh penutur bahasa Melayu. Antaranya ialah :
Kata Kesalahan
Dialog dai-log
Radio re-di-o
Definisi de-fa-na-si
Industri in-das-tri
Kesalahan sebutan sering kali dilakukan oleh penutur akibat pengaruh bahasa asing yang tidak mudah lenyap dalam minda masyarakat. Sewajarnya, penyebutan bahasa perlu dibakukan agar bunyinya tidak dipengaruhi oleh bahasa Inggeris. Tambahan pula, sebutan bahasa Melayu yang dibakukan menunjukkan nilai sebenar bahasa tersebut.
Situasi 37 : Bahasa Kadazan
Mempelajari bahasa orang lain bukannya sesuatu yang mudah. Masa yang banyak diperlukan untuk memahami sesuatu ujaran. Begitu juga dengan saya. Kawan yang sebilik dengan saya merupakan orang Kadazan dan dia berasal dari Sabah. Semenjak sebilik dengan Sharon, saya mula tertarik untuk belajar bahasa Kadazan kerana saya ingin meluaskan lagi pengetahuan berbahasa memandangkan negara kita terdiri daripada masyarakat majmuk yang berbilang kaum dan agama. Tidak salah sekiranya kita ingin belajar bahasa orang lain supaya lebih mudah untuk kita berinteraksi dengan orang lain. Kita beruntung hidup di dalam sebuah negara yang mempunyai rakyat yang berbilang kaum dan juga bahasanya. Berikut merupakan bahasa yang telah saya pelajari dengan Sharon.
a) Saya mahu makan
Mangakan oku
b) Perut saya sakit
Orual tian ku
c) Hari ini hujan turun dengan lebat
Ologod rasam tadau baino
Walaupun mengambil masa yang lama untuk belajar dengan Sharon, namun saya tetap berpuas hati kerana dapat belajar bahasa kaum lain yang terdapat di Malaysia ini. Begitu juga dengan Sharon, dia turut mempelajari bahasa Iban daripada saya. Kami berdua saling mengajar antara satu sama lain dan timbul keseronokan dalam waktu yang sama. Selain dapat mempelajari bahasa yang baru, saya dan Sharon juga dapat mempereratkan hubungan kami sebagai kawan dan seterusnya teman sebilik.
Situasi 36 : Enjoy
Kemenangan yang memihak kepada Lee Chong Wei iaitu pemain nombor satu dunia dalam sukan badminton yang telah mengalahkan pesaing terdekatnya iaitu Lindan dari negara China semasa Kejohanan Badminton Seluruh England pada malam tadi amat membanggakan semua pihak. Beliau sekali lagi mengaharumkan nama negara di persada antarabangsa menerusi kemenangannya dalam piala tersebut. Sememangnya cerita yang ingin disampaikan bukanlah berkaitan dengan kemenangan yang dimiliki oleh Chong Wei sebaliknya berkaitan dengan ulasan sukan pada malam tadi iaitu melibatkan pengulas sukan wanita semasa pertandingan dilangsungkan. Dalam ulasan tersebut, beliau mengatakan seperti berikut :
“Chong Wei dan Lindan nampaknya sangat ‘enjoy’ bermain pada perlawanan kali ini.”
Saya tertanya-tanya sama ada pengulas tersebut sedar atau tidak dengan kesalahan yang terdapat pada bahasanya? Kesalahan yang kecil seperti ini lama-kelamaan akan menjadi besar dan semakin parah. Justeru, berbahasalah dengan betul dan bukan hanya sekadar membuta tuli.
Situasi 35 : Pengaruh Bahasa Iklan
Iklan sememangnya memainkan peranan yang amat penting dalam mempengaruhi emosi masyarakat. Begitu juga dengan penggunaan bahasanya yang sering menjadi ikutan. Apabila saya menonton televisyen semalam, saya terlihat sebuah iklan yang melibatkan temuramah antara wartawan dengan responden yang menggunakan produk tersebut. Responden tersebut mencampuradukkan bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris yang akhirnya menyebabkan pencemaran bahasa berlaku. Berikut merupakan beberapa petikan temu bual tersebut :
Wartawan : Apakah pendapat anda tentang produk ini?
Responden : Selepas menggunakan produk ini, kulit saya rasa lembut, smooth je.Kawan saya pun menegur perubahan pada warna kulit saya.
Berdasarkan wawancara dengan responden tersebut, ternyata kata ‘lembut’ dan ‘smooth’ mengandungi makna yang sama tetapi responden tetap menggunakannya walaupun beliau sendiri sedar kesalahan yang terdapat pada ayat yang diujarkannya itu. Keadaan ini membuktikan bahawa rakyat Malaysia tidak mampu meminggirkan penggunaan bahasa asing dalam setiap ayat yang diujarkan. Malah, perkara ini berlarutan hingga menjadikannya suatu budaya yang sukar dikikis. Sepatutnya sebagai media yang menjadi tatapan umum, iklan yang ditayangkan perlu memberi perhatian terhadap aspek penggunaan bahasa agar sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan kesalahan bahasa yang sering dilakukan oleh masyarakat pada zaman kini.
Friday, March 11, 2011
Situasi 34 : Perkataan Sinonim
Pada kelas Semantik pada minggu yang lepas, saya telah mempelajari perkataan sinonim dengan lebih mendalam. Sinonim pada asalnya ialah perkatan yang sama erti atau maknanya. Sinonim mempunyai perkaitan yang cukup rapat antara kata dengan makna. Dalam Kamus Linguistik, sinonim merupakan dua kata atau lebih yang mempunyai makna yang sama atau hampir sama dalam sesuatu bahasa. Walau bagaimanapun, perkataan sinonim ini perlu digunakan mengikut kewajarannya iaitu melihat kepada konteks ayat. Misalnya kata mati bersinonim dengan meninggal dunia tetapi penggunaanya adalah berbeza. Kata mati sesuai digunakan untuk haiwan manakala meninggal dunia dikhaskan untuk manusia. Keadaan ini bermaksud penggunaan perkataan sinonim perlu mempunyai nilai ‘rasa’ dan ada pengecualiannya. Saya merasakan masih ramai lagi yang tidak tahu menggunakan perkataan sinonim ini. Misalnya contoh di bawah ini mempunyai perbezaan walaupun perkataan tersebut bersinonim.
a) Seri sudah hamil.
b) Lembu Haji Bakhil telah bunting.
Hamil dan bunting mempunyai makna yang sama. Walau bagaimanapun, dalam contoh yang diberikan, penggunaan kata ‘hamil’ dan ‘bunting’ adalah bergantung kepada individu yang menggunakannya. Jika kita hendak menggunakan kata ‘bunting’ merujuk kepada manusia, jelas menggambarkan bahasa yang kasar dan tidak sedap didengar. Justeru, dalam kehidupan bermasyarakat kita perlu belajar dan bijak menggunakan kata sinonim supaya tidak menyinggung mana-mana pihak yang berkenaan. Pengajaran sinonim ini amat bermakna buat semua orang.
Subscribe to:
Posts (Atom)