Kebiasaannya tempat baru sering menjanjikan pengalaman dan kenangan baru kepada kita. Keadaan ini menunjukkan pepatah Melayu yang tidak pernah lupus ditelan zaman iaitu pepatah 'tak kenal maka tak cinta.' Pepatah ini digambarkan apabila pertama kali saya menjejakkan kaki ke sekolah baru tempat ayah saya mengajar. Pertama kali menjejakkan kaki ke situ, saya tidak merasakan kalau ada apa-apa perkara yang menarik. Bagi saya, kawasan di situ sangat sunyi dan kadang kala terasa bosan untuk berada lama di situ. Namun, setelah berjam-jam duduk di pejabat ayah saya, tiba-tiba saya didatangi seorang guru selaku tetamu ayah saya. Saya menjemputnya duduk lantas saya mula menggunakan bahasa Inggeris sewaktu berkomunikasi dengan beliau kerana cikgu tersebut merupakan cikgu berbangsa Cina. Setelah berkenalan dengan Encik Ting, kami pun berbual panjang dan entah bagaimana Encik Ting mula berbahasa Melayu dengan saya. Pada mulanya, memang saya berasa agak terkejut dan terdiam seketika. Mana tidaknya, penggunaan bahasa Melayu beliau sangat baik dan langsung tidak ada keluar loghat Cina seperti mereka yang lainnya. Bahasanya memang 100% menggunakan bahasa Melayu tinggi dan pada ketika itu saya seolah-olah bercakap dengan cikgu berbangsa Melayu. Perbualan kami menjadi lebih mesra apabila saya memberitahu bahawa saya mengambil jurusan Bahasa Melayu di UPSI. Encik Ting pun turut memberitahu bahawa beliau memang mengajar bahasa Melayu di sekolah tempat ayah saya mengajar tersebut. Sekali lagi saya tergamam mendengar pengakuan beliau. Saya amat kagum dengan kebolehannya berbahasa dan tidak hairan jika beliau diarah untuk mengajar Pendidikan Bahasa Melayu. Sebelum ini, saya jarang-jarang berjumpa dengan masyarakat Cina yang petah dan langsung tidak mengeluarkan loghat Cina mereka yang pekat itu. Pada waktu yang sama, saya turut berasa bersalah dan malu kerana pada mulanya saya mengajak Encik Ting berkomunikasi dalam bahasa Inggeris padahal beliau sangat arif menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di negara kita. Walaupun perjumpaan hanya mengambil masa yang singkat sahaja, namun sangat memberikan makna kepada saya. Sesungguhnya perjumpaan dengan cikgu tersebut tak ubah seperti peribahasa tak kenal maka tak cinta.
No comments:
Post a Comment