Friday, March 11, 2011

Situasi 33 : ‘Flush’

Semalam saya dan kawan saya Christina, ‘berkampung’ sehari-harian di Perpustakaan Tuanku Bainun untuk menyiapkan Rancangan Pengajaran Harian untuk kegunaan pengajaran makro yang akan dibuat tidak lama lagi. Apabila saya pergi ke tandas perpustakaan tersebut, tiba-tiba saya terbaca notis yang ditampalkan di bahagian tangki air untuk mengepam lubang tandas selepas digunakan. Sepanjang tiga tahun saya berada di universiti ini, barulah saya sedar bahawa ada notis ditampalkan di situ. Notis tersebut berbunyi :

Bakal guru yang dihormati, sila pastikan tandas di’flush’ selepas digunakan dan sampah dibuang ke dalam tong sampah sebelum keluar.
Sila gunakan kemudahan dengan sebaik mungkin.
Sikap anda mencerminkan keperibadian anda.

Jika sekilas pandang, seolah-olah tiada apa-apa yang perlu dijadikan isu pada notis tersebut. Namun, saya tersedar akan perkataan ‘flush’ yang dimasukkan sekali dalam notis tersebut. Walhal, perkataan ‘flush’ merupakan perkataan bahasa Inggeris yang diambil terus. Dalam bahasa Melayu yang sebenar, ‘flush’ membawa maksud ‘mengepam’. Jadi, kenapa perlu memasukkan bahasa pinjaman dalam notis sedangkan dalam bahasa Melayu terdapat ungkapannya yang sendiri? Begitulah sikap masyarakat kita yang sering mengagung-agungkan bahasa lain sehingga meminggirkan bahasa sendiri. Sememangnya diakui perkataan ‘flush’ sudah sebati penggunaannya dalam masyarakat tetapi sebagai sebuah institusi pengajian awam yang tersohor, tidak wajar jika hendak mencampuradukkan bahasa seperti itu untuk tatapan pelajar-pelajar kerana ia mudah menjadi ikutan bagi siapa-siapa yang terbaca notis tersebut.  


Situasi 32 : Bahasa Pesanan Ringkas atau Bahasa SMS

Pengaruh bahasa SMS atau pesanan ringkas amat membimbangkan semua pihak. Budaya ini bukan lagi suatu perkara yang baru malah ia telah lama mempengaruhi budaya masyarakat kita. Namun, penggunaannya yang semakin meluas amat merungsingkan. Semua pihak sebenarnya menyedari bahawa penggunaan bahasa SMS memudaratkan bahasa Melayu itu sendiri, namun ramai yang menganggap perkara ini sesuatu yang remeh-temeh. Saya sendiri saban hari menerima pesanan ringkas daripada kawan-kawan hanya dengan menggunakan singkatan yang tertentu. Misalnya,
“Ko kat ane nie?” (bahasa singkatan)
Sepatutnya dalam bahasa Melayu tinggi ayat di atas adalah seperti berikut :
“Kamu di mana sekarang ini?”
 Jika dibandingkan kedua-dua ayat di atas, ternyata penggunaan bahasa singkatan amat jauh berbeza dengan struktur bahasanya yang sebenar. Bunyi dan ejaan sekaligus turut berubah.  Bahasa ringkas ini membawa implikasi besar dalam kehidupan manusia kerana ia membabitkan komunikasi harian serta membabitkan jati diri setiap bangsa yang diwakilinya. Bahasa singkatan ini sudah sebati dalam jiwa masyarakat memandangkan ia sentiasa didengar, dilihat dan dipertontonkan terutama dalam teknologi semasa. Pada pandangan saya, jika keadaan ini berterusan, masyarakat akan membenarkan bahasa terutama bahasa Melayu rosak memandangkan keindahan ayat yang terkandung di dalamnya bakal terhakis. Maka, belajarlah kita menggunakan bahasa yang penuh untuk mengangkat martabat bahasa Melayu itu sendiri kerana bahasa pesanan ringkas merupakan pencemar bahasa yang akan ‘membunuh’ bahasa itu sendiri.



Situasi 31 : Budaya Membaca

Kembali mengimbau setiap kali musim cuti semester, sudah menjadi kebiasaan bagi pelajar Sabah dan Sarawak untuk bermalam di lapangan terbang bagi menunggu masa penerbangan pada awal paginya. Semasa berada di lapangan terbang, pelbagai ragam manusia yang kita boleh lihat. Pelancong asing dan tempatan memenuhi setiap ruang di terminal tersebut. Masing-masing dengan kerja sendiri. Dalam menunggu masa penerbangan untuk balik ke Sarawak, saya asyik memerhati gelagat penumpang yang berada di terminal pada waktu itu. Biasanya, lapangan terbang sentiasa dipenuhi pelancong asing yang pergi dan balik ke Malaysia. Ceritera yang ingin saya sampaikan ialah berkaitan dengan budaya membaca dalam kalangan masyarakat. Daripada pemerhatian saya, pelancong asing lebih banyak mengahabiskan masa mereka dengan membaca buku jika hendak dibandingkan dengan warga tempatan yang lebih suka berborak kosong daripada melakukan perkara yang berfaedah. Budaya membaca dalam kalangan orang Barat sangat tinggi dan sudah menjadi kebiasaan mereka untuk berdepan dengan buku pada setiap masa. Kajian juga menunjukkan bahawa orang Barat membaca buku sekurang-kurangnya 100 buah buku dalam masa setahun untuk seorang berbanding dengan rakyat Malaysia yang dikatakan seorang hanya membaca buku sekurang-kurangnya dua buah buku dalam masa setahun. Perbezaan ini amat tinggi dan turut membuktikan bahawa negara kita masih berada pada tahap yang amat rendah dalam memupuk budaya membaca dalam kalangan masyarakat. Justeru, untuk menjadi masyarakat yang berilmu, membaca merupakan amalan yang sangat digalakkan untuk menjadi bangsa yang maju dan berjaya.

     


Situasi 30 : Laras Bahasa

Pelbagai perkara yang dipelajari oleh kami semasa mengikuti pengajaran makro semalam. Antaranya ialah penggunaan laras bahasa mengikut bidang. Kawan saya yang mengajar mengatakan bahawa kita perlu menggunakan laras bahasa yang bersesuaian semasa berinteraksi dengan orang lain. Antara laras bahasa yang diajar semalam iaitu laras bahasa sains, ekonomi, biasa dan sukan. Mengikut Azhan, iaitu kawan saya yang membuat pengajaran makro, dia mengatakan bahawa setiap laras bahasa tersebut mempunyai bahasa-bahasanya yang tersendiri. Misalnya dalam laras bahasa sukan, perkataan seperti menendang, menggelecek, gol dan sebagainya menunjukkan bahawa laras bahasa tersebut tergolong dalam laras bahasa sukan. Begitu juga halnya dengan laras bahasa ekonomi.

Berikut merupakan contoh laras bahasa sains :
Air hujan secara semula jadinya berasid sedikit kerana tindak balasnya dengan gas karbon dioksida dalam atmosfera untuk membentuk asid karbonik. Nilai pH air huajn ialah 5.6.

 Dalam laras bahasa tersebut pasti akan ada perkataan umpama melambung tinggi, menjunam, kenaikan dan sebagainya. Penggunaan perkataan tertentu ini menunjukkan laras bahasa yang digunakan. Justeru, sebagai seorang bakal guru bahasa, kita perlu bijak membezakan antara satu laras bahasa dengan laras bahasa yang lain supaya mudah untuk kita berkomunikasi dengan orang lain. Profesion kita dalam bidang perguruan memerlukan kita bijak berbahasa selain daripada memartabatkan bahasa itu sendiri.

Situasi 29 : ‘Ceciter -ceciter dan Bako je’

Kebelakangan ini pelbagai istilah baru yang muncul daripada masyarakat yang berada di persekitaran saya terutama rakan sekuliah yang sering menggunakan perkataan ‘ceciter ceciter’. Pertama kali saya mendengarnya, saya berasa agak hairan dan tertanya-tanya maksud di sebalik perkataan baru itu. Maklumlah, istilah itu baru muncul sejak akhir-akhir ini. Apabila saya bertanya kepada kawan saya, dia memberitahu bahawa istilah itu merupakan pengaruh bahasa yang terdapat pada sebuah filem tempatan. Betapa cepatnya pengaruh bahasa yang terdapat dalam filem di Malaysia mempengaruhi minda dan budaya masyarakat setempat. Pengaruh ini lama-kelamaan menjadi tradisi sehingga boleh mencemarkan bahasa itu sendiri. Begitu juga dengan istilah ‘bako’, sejak akhir-akhir ini telinga saya sering ditembusi dengan istilah ‘kite bako je, kite bako je’. Walhal istilah yang wujud itu merupakan pengaruh kuat bahasa yang digunakan oleh pengarah dalam filem atau drama yang disunting oleh mereka. Sepatutnya, istilah yang dinyatakan adalah seperti berikut.
                        ceciter = cuba cerita
                        bako = bakar
Namun, untuk menyedapkan bunyi pada perkataan tersebut, maka diwujudkan istilah yang sebelum ini langsung tidak pernah ada dalam mana-mana kamus. Masyarakat pula sememangnya mudah untuk menerima istilah baru dalam perbualan sehari-harian sehingga mereka mencedok bahasa yang dipetik dari dalam filem yang ditonton. Seharusnya, untuk menyemai budaya berbahasa yang tinggi dalam kalangan masyarakat, pihak pengarah filem wajar memastikan bahawa bahasa yang digunakan di dalam filem sesuai untuk masyarakat kita pada hari ini. Filem pula merupakan salah satu alternatif yang boleh dijadikan sebagai medium dalam memastikan masyarakat menggunakan bahasa yang betul dan bukan sebaliknya.

Thursday, March 10, 2011

Situasi 28 : ‘Hhaaah !’

Sudah menjadi kelaziman sewaktu kelas Karya Agung Prof. Abdullah Hassan, suasana di dalam kelas pasti sangat ceria dan menghiburkan. Kami sebagai pelajar sangat suka dengan cara Prof. mengajar dan jika ada kesilapan berbahasa beliau pasti bertindak membetulkannya secepat mungkin. Kemungkinan itulah keistimewaan Prof. di mata kami. Kebetulan, cerita yang ingin disampaikan ini berkaitan dengan cara atau gaya kita berbahasa yang perlu sopan apabila berinteraksi dengan orang lain. Semasa di dalam kelas, Prof. ada menyatakan tentang sesuatu yang saya sendiri sudah lupa perkara yang dibangkitkan. Apa yang pasti perkara tersebut mengejutkan pelajar termasuk saya sendiri. Lantas kami secara serentak terus menjawab, hhaaaaaa???? Kelazimannya, ‘hhaaaaa’ sering menunjukkan ekspresi terkejut dan akibat sudah biasa melakukan perkara tersebut kami turut berbuat demikian di hadapan Prof.. Prof. berhenti sekejap bercakap dan merenung kami dengan penuh makna. Beliau kemudian berkata,
“Cikgu..kenapa perlu buat ‘hhaaaaa’? Tidak sopan cikgu. Muka yang cantik pun boleh berubah menjadi buruk apabila kamu semua ‘hhhaaa hhhaaa hhhhaaaa’. Kena berubah cikgu.”
Kami semua pun tergelak melihat Prof. mengajuk cara kami berbuat demikian. Selang beberapa minit setelah beliau mengingatkan kami supaya tidak berbuat demikian, tiba-tiba seorang daripada kami mengulang kembali sebutan ‘hhaaaa’ itu. Prof. hanya menggelengkan kepala dan disambut hilaian ketawa daripada seluruh kelas. Pengajarannya ialah kita perlu menjaga perilaku semasa berbahasa kerana tanpa kita sedari cara dan gaya penyampaian itu kadang kala boleh memalukan diri kita sendiri.

Situasi 27 : ‘Tidak Siuman’

Teringat pula kelas Prof. Abdullah Hassan pada pagi tadi. Kadang kala tutur kata yang dikeluarkan oleh beliau sangat mencuitkan hati dan menjadikan kelas sangat terhibur dengan gelak tawa dan perkataan baru yang muncul daripada pemikiran beliau. Belajar dengan orang yang berintelektual tinggi sangat seronok. Pelbagai benda baru yang boleh dipelajari yang sebelum ini langsung tak tercapai oleh akal kita. Misalnya, Prof. menggunakan istilah tidak siuman terhadap cara pemakaian seseorang dari aspek warnanya yang pelbagai. Bagi beliau, sudah memadai 3 warna sahaja untuk melihat kita siuman.
“Kalau orang asyik memandang kita menggunakan pakaian yang beraneka warna, maknanya tidak siumanlah si pemakai itu.”
Berdasarkan perkara yang disebut oleh Prof. beliau mengaitkan perbuatan yang tidak siuman dengan pemakaian baju oleh seseorang sedangkan dalam konteks makna yang sebenar tidak siuman membawa pengertian seseorang itu sudah gila, tidak waras dan tidak mampu berfikir untuk mempertimbangkan perkara yang baik dan buruk. Saya beranggapan, dalam konteks ayat seperti yang diujarkan oleh Prof. beliau sebenarnya bertujuan untuk memberikan nilai ‘rasa’ terhadap ujaran yang disampaikan. Seperti penggunaan pantun dalam kalangan masyarakat Melayu tradisional, pantun kadang kala digunakan untuk menyindir dan memberi pengajaran kepada masyarakat. Begitu pula dengan istilah tidak siuman yang dikaitkan Prof. dengan gaya pemakaian seseorang.