Saturday, January 22, 2011

Bahasa Tidak Mengenal Orang

Salam..
"Muka awak macam Cina la.Awak bangsa apa ye dan ambil course ape?" Lantas saya pun terus menjawab, "Saya ambil jurusan Pendidikan Bahasa Melayu," Lelaki itu pun terkejut sambil matanya terbeliak besar. "Awak biar betul. Power nye awak ambil Bahasa Melayu. Saya yang Melayu nie pon tak  teror sangat. Ala kadar je. Awak bercakap pon langsung tak ade slang," Saya terus tersenyum dan menjawab lelaki itu lagi, "Orang Melayu sahaja ke yang boleh ambil kursus ini dan fasih menggunakan bahasa Melayu?" Lelaki itu hanya tersengih dan dalam masa yang sama mengakui kebenaran yang saya lontarkan sebentar tadi.
Lantaran itu, melalui pertemuan saya dengan sahabat baru ini, ingin sekali saya kongsikan bersama bahawa bahasa sebenarnya tidak mengira orang, umur, bangsa, pangkat dan darjat sekalipun. Kemungkinan besar sahabat baru saya itu terkejut apabila mengetahui yang saya mengambil Pendidikan Bahasa Melayu sebagai subjek major saya di UPSI ini. Bagi saya, tidak ada apa-apa pun yang perlu dihairankan jika ada kaum lain atau bangsa lain yang petah menggunakan bahasa Melayu. Bukankah pendidikan kita hari ini mengutamakan bahasa Melayu dalam melahirkan modal insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang? Maka, saya menyahut cabaran itu dan membuktikan kepada masyarakat bahawa orang bukan Melayu juga boleh setanding dengan orang Melayu dalam berbahasa. Justeru, saya mengambil jurusan Bahasa Melayu ini kerana minat saya memang cenderung dalam bidang linguistik yang membincangkan ilmu-ilmu bahasa. Berbalik kepada isu utama yang ingin saya bincangkan, tegasnya kita berbahasa bukan melihat kepada individu yang diajak berbual/berkomunikasi/berbahasa. Sebaliknya, kita perlu menyedari bahawa setiap insan yang dilahirkan sama ada kaum India, Cina serta etnik-etnik di Sabah dan Sarawak boleh berbahasa terutama bahasa Melayu memandangkan ianya merupakan bahasa utama dan termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.

No comments:

Post a Comment