Monday, March 14, 2011

Situasi 40 : Kerana Bahasa Kita Berkawan

Percaya atau tidak, bahasa mempunyai kekuatan untuk menjalinkan perhubungan yang baru tidak kira sama ada dengan sahabat yang baru dijumpai, saudara mara serta orang-orang yang berada di persekitaran kita. Bahasa memainkan peranan yang amat penting yang membolehkan kita berinteraksi dengan orang lain sekaligus mewujudkan sebuah hubungan yang erat dan rapat. Bahasa sebenarnya telah mempertemukan saya dengan rakan-rakan lain yang berasal dari seluruh negeri di Malaysia ini. Bahasa telah menjadikan kami satu iaitu kawan untuk selama-lamanya. Kemasukan ke UPSI ini membolehkan saya berjumpa dengan kawan-kawan baru yang berasal dari serata tempat di Malaysia. Misalnya, saya berkawan dengan Liza dan Fariz yang berasal dari Perak, Fawiz orang Kelantan, Johnston dari Sabah, Atul, Chris dan Lee Pei yang berasal daripada Sarawak dan ramai lagi. Walaupun kami berlaianan latar belakang, namun kami tetap bersatu sebagai kawan. Dan daripada bahasa kami terus menjadi kawan sehingga ke hari ini. Sesungguhnya merekalah insan terpenting buat diri saya dalam melalui kehidupan yang jauh daripada keluarga dan saudara mara nun di seberang sana.

Situasi 39 : Mari Belajar Dialek

Pada kelas Semantik dan Pragmatik beberapa minggu yang lepas, saya telah belajar tentang dialek bagi sesebuah negeri untuk mengungkapkan satu patah perkataan dalam bahasa Melayu. Dialek merupakan variasi daripada sesuatu bahasa tertentu dan dituturkan oleh sekumpulan masyarakat bahasa tersebut. Dialek ditentukan oleh faktor geografi dan juga sosial. Semasa kelas Semantik dan Pragmatik tersebut, kami belajar dialek untuk kata ganti nama diri bagi setiap negeri. Misalnya ialah perkataan ‘saya’ atau ‘aku’ :
Kelantan = Ambo
Kedah = Hang
Sarawak = Kamek
Terdapat beberapa contoh dialek yang telah kami pelajari. Ada yang mempunyai persamaan dan ada juga perbezaannya. Daripada dialek ini, kita dapat mengkaji serba sedikit dan membuat perbandingan antara satu dialek dengan dialek yang lain. Belajar dialek merupakan satu perkara yang sangat seronok.

Situasi 38 : Kesalahan Sebutan

Kesalahan sebutan dalam bahasa Melayu sudah menjadi lumrah dalam masyarakat kita pada hari ini. Kesalahan bahasa ini bukan sahaja tertumpu kepada ejaan, malah sebutan turut menghadapi masalah kerana pengaruh bahasa Inggeris yang kuat. Sistem ejaan telah menetapkan bahawa sebutan kata pinjaman daripada bahasa Inggeris hendaklah menurut sistem bunyi dalam bahasa Melayu. Berikut beberapa kesalahan yang sering dilakukan oleh penutur bahasa Melayu. Antaranya ialah :
                                      Kata                                                   Kesalahan
                                    Dialog                                                       dai-log
                                    Radio                                                       re-di-o
                                    Definisi                                                  de-fa-na-si
                                    Industri                                                   in-das-tri

Kesalahan sebutan sering kali dilakukan oleh penutur akibat pengaruh bahasa asing yang tidak mudah lenyap dalam minda masyarakat. Sewajarnya, penyebutan bahasa perlu dibakukan agar bunyinya tidak dipengaruhi oleh bahasa Inggeris. Tambahan pula, sebutan bahasa Melayu yang dibakukan menunjukkan nilai sebenar bahasa tersebut.

Situasi 37 : Bahasa Kadazan

Mempelajari bahasa orang lain bukannya sesuatu yang mudah. Masa yang banyak diperlukan untuk memahami sesuatu ujaran.  Begitu juga dengan saya. Kawan yang sebilik dengan saya merupakan orang Kadazan dan dia berasal dari Sabah. Semenjak sebilik dengan Sharon, saya mula tertarik untuk belajar bahasa Kadazan kerana saya ingin meluaskan lagi pengetahuan berbahasa memandangkan negara kita terdiri daripada masyarakat majmuk yang berbilang kaum dan agama. Tidak salah sekiranya kita ingin belajar bahasa orang lain supaya lebih mudah untuk kita berinteraksi dengan orang lain. Kita beruntung hidup di dalam sebuah negara yang mempunyai rakyat yang berbilang kaum dan juga bahasanya. Berikut merupakan bahasa yang telah saya pelajari dengan Sharon.

a)    Saya mahu makan
 Mangakan oku

b)    Perut saya sakit
 Orual tian ku

c)    Hari ini hujan turun dengan lebat
Ologod rasam tadau baino

Walaupun mengambil masa yang lama untuk belajar dengan Sharon, namun saya tetap berpuas hati kerana dapat belajar bahasa kaum lain yang terdapat di Malaysia ini. Begitu juga dengan Sharon, dia turut mempelajari bahasa Iban daripada saya. Kami berdua saling mengajar antara satu sama lain dan timbul keseronokan dalam waktu yang sama. Selain dapat mempelajari bahasa yang baru, saya dan Sharon juga dapat mempereratkan hubungan kami sebagai kawan dan seterusnya teman sebilik.

Situasi 36 : Enjoy

Kemenangan yang memihak kepada Lee Chong Wei iaitu pemain nombor satu dunia dalam sukan badminton yang telah mengalahkan pesaing terdekatnya iaitu Lindan dari negara China semasa Kejohanan Badminton Seluruh England pada malam tadi amat membanggakan semua pihak. Beliau sekali lagi mengaharumkan nama negara di persada antarabangsa menerusi kemenangannya dalam piala tersebut. Sememangnya cerita yang ingin disampaikan bukanlah berkaitan dengan kemenangan yang dimiliki oleh Chong Wei sebaliknya berkaitan dengan ulasan sukan pada malam tadi iaitu melibatkan pengulas sukan wanita semasa pertandingan dilangsungkan. Dalam ulasan tersebut, beliau mengatakan seperti berikut :
“Chong Wei dan Lindan nampaknya sangat ‘enjoy’ bermain pada perlawanan kali ini.”
Saya tertanya-tanya sama ada pengulas tersebut sedar atau tidak dengan kesalahan yang terdapat pada bahasanya? Kesalahan yang kecil seperti ini lama-kelamaan akan menjadi besar dan semakin parah. Justeru, berbahasalah dengan betul dan bukan hanya sekadar membuta tuli.


Situasi 35 : Pengaruh Bahasa Iklan

Iklan sememangnya memainkan peranan yang amat penting dalam mempengaruhi emosi masyarakat. Begitu juga dengan penggunaan bahasanya yang sering menjadi ikutan. Apabila saya menonton televisyen semalam, saya terlihat sebuah iklan yang melibatkan temuramah antara wartawan dengan responden yang menggunakan produk tersebut. Responden tersebut mencampuradukkan bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris yang akhirnya menyebabkan pencemaran bahasa berlaku. Berikut merupakan beberapa petikan temu bual tersebut :

Wartawan    : Apakah pendapat anda tentang produk ini?
Responden : Selepas menggunakan produk ini, kulit saya rasa lembut, smooth je.Kawan saya pun menegur perubahan pada warna kulit saya.

Berdasarkan wawancara dengan responden tersebut, ternyata kata ‘lembut’ dan ‘smooth’ mengandungi makna yang sama tetapi responden tetap menggunakannya walaupun beliau sendiri sedar kesalahan yang terdapat pada ayat yang diujarkannya itu. Keadaan ini membuktikan bahawa rakyat Malaysia tidak mampu meminggirkan penggunaan bahasa asing dalam setiap ayat yang diujarkan. Malah, perkara ini berlarutan hingga menjadikannya suatu budaya yang sukar dikikis. Sepatutnya sebagai media yang menjadi tatapan umum, iklan yang ditayangkan perlu memberi perhatian terhadap aspek penggunaan bahasa agar sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan kesalahan bahasa yang sering dilakukan oleh masyarakat pada zaman kini.

Friday, March 11, 2011

Situasi 34 : Perkataan Sinonim

Pada kelas Semantik pada minggu yang lepas, saya telah mempelajari perkataan sinonim dengan lebih mendalam. Sinonim pada asalnya ialah perkatan yang sama erti atau maknanya. Sinonim mempunyai perkaitan yang cukup rapat antara kata dengan makna. Dalam Kamus Linguistik, sinonim merupakan dua kata atau lebih yang mempunyai makna yang sama atau hampir sama dalam sesuatu bahasa. Walau bagaimanapun, perkataan sinonim ini perlu digunakan mengikut kewajarannya iaitu melihat kepada konteks ayat. Misalnya kata mati bersinonim dengan meninggal dunia tetapi penggunaanya adalah berbeza. Kata mati sesuai digunakan untuk haiwan manakala meninggal dunia dikhaskan untuk manusia. Keadaan ini bermaksud penggunaan perkataan sinonim perlu mempunyai nilai ‘rasa’ dan ada pengecualiannya. Saya merasakan masih ramai lagi yang tidak tahu menggunakan perkataan sinonim ini. Misalnya contoh di bawah ini mempunyai perbezaan walaupun perkataan tersebut bersinonim.
a)    Seri sudah hamil.
b)    Lembu Haji Bakhil telah bunting.
Hamil dan bunting mempunyai makna yang sama. Walau bagaimanapun, dalam contoh yang diberikan, penggunaan kata ‘hamil’ dan ‘bunting’ adalah bergantung kepada individu yang menggunakannya. Jika kita hendak menggunakan kata ‘bunting’ merujuk kepada manusia, jelas menggambarkan bahasa yang kasar dan tidak sedap didengar. Justeru, dalam kehidupan bermasyarakat kita perlu belajar dan bijak menggunakan kata sinonim supaya tidak menyinggung mana-mana pihak yang berkenaan. Pengajaran sinonim ini amat bermakna buat semua orang.




Situasi 33 : ‘Flush’

Semalam saya dan kawan saya Christina, ‘berkampung’ sehari-harian di Perpustakaan Tuanku Bainun untuk menyiapkan Rancangan Pengajaran Harian untuk kegunaan pengajaran makro yang akan dibuat tidak lama lagi. Apabila saya pergi ke tandas perpustakaan tersebut, tiba-tiba saya terbaca notis yang ditampalkan di bahagian tangki air untuk mengepam lubang tandas selepas digunakan. Sepanjang tiga tahun saya berada di universiti ini, barulah saya sedar bahawa ada notis ditampalkan di situ. Notis tersebut berbunyi :

Bakal guru yang dihormati, sila pastikan tandas di’flush’ selepas digunakan dan sampah dibuang ke dalam tong sampah sebelum keluar.
Sila gunakan kemudahan dengan sebaik mungkin.
Sikap anda mencerminkan keperibadian anda.

Jika sekilas pandang, seolah-olah tiada apa-apa yang perlu dijadikan isu pada notis tersebut. Namun, saya tersedar akan perkataan ‘flush’ yang dimasukkan sekali dalam notis tersebut. Walhal, perkataan ‘flush’ merupakan perkataan bahasa Inggeris yang diambil terus. Dalam bahasa Melayu yang sebenar, ‘flush’ membawa maksud ‘mengepam’. Jadi, kenapa perlu memasukkan bahasa pinjaman dalam notis sedangkan dalam bahasa Melayu terdapat ungkapannya yang sendiri? Begitulah sikap masyarakat kita yang sering mengagung-agungkan bahasa lain sehingga meminggirkan bahasa sendiri. Sememangnya diakui perkataan ‘flush’ sudah sebati penggunaannya dalam masyarakat tetapi sebagai sebuah institusi pengajian awam yang tersohor, tidak wajar jika hendak mencampuradukkan bahasa seperti itu untuk tatapan pelajar-pelajar kerana ia mudah menjadi ikutan bagi siapa-siapa yang terbaca notis tersebut.  


Situasi 32 : Bahasa Pesanan Ringkas atau Bahasa SMS

Pengaruh bahasa SMS atau pesanan ringkas amat membimbangkan semua pihak. Budaya ini bukan lagi suatu perkara yang baru malah ia telah lama mempengaruhi budaya masyarakat kita. Namun, penggunaannya yang semakin meluas amat merungsingkan. Semua pihak sebenarnya menyedari bahawa penggunaan bahasa SMS memudaratkan bahasa Melayu itu sendiri, namun ramai yang menganggap perkara ini sesuatu yang remeh-temeh. Saya sendiri saban hari menerima pesanan ringkas daripada kawan-kawan hanya dengan menggunakan singkatan yang tertentu. Misalnya,
“Ko kat ane nie?” (bahasa singkatan)
Sepatutnya dalam bahasa Melayu tinggi ayat di atas adalah seperti berikut :
“Kamu di mana sekarang ini?”
 Jika dibandingkan kedua-dua ayat di atas, ternyata penggunaan bahasa singkatan amat jauh berbeza dengan struktur bahasanya yang sebenar. Bunyi dan ejaan sekaligus turut berubah.  Bahasa ringkas ini membawa implikasi besar dalam kehidupan manusia kerana ia membabitkan komunikasi harian serta membabitkan jati diri setiap bangsa yang diwakilinya. Bahasa singkatan ini sudah sebati dalam jiwa masyarakat memandangkan ia sentiasa didengar, dilihat dan dipertontonkan terutama dalam teknologi semasa. Pada pandangan saya, jika keadaan ini berterusan, masyarakat akan membenarkan bahasa terutama bahasa Melayu rosak memandangkan keindahan ayat yang terkandung di dalamnya bakal terhakis. Maka, belajarlah kita menggunakan bahasa yang penuh untuk mengangkat martabat bahasa Melayu itu sendiri kerana bahasa pesanan ringkas merupakan pencemar bahasa yang akan ‘membunuh’ bahasa itu sendiri.



Situasi 31 : Budaya Membaca

Kembali mengimbau setiap kali musim cuti semester, sudah menjadi kebiasaan bagi pelajar Sabah dan Sarawak untuk bermalam di lapangan terbang bagi menunggu masa penerbangan pada awal paginya. Semasa berada di lapangan terbang, pelbagai ragam manusia yang kita boleh lihat. Pelancong asing dan tempatan memenuhi setiap ruang di terminal tersebut. Masing-masing dengan kerja sendiri. Dalam menunggu masa penerbangan untuk balik ke Sarawak, saya asyik memerhati gelagat penumpang yang berada di terminal pada waktu itu. Biasanya, lapangan terbang sentiasa dipenuhi pelancong asing yang pergi dan balik ke Malaysia. Ceritera yang ingin saya sampaikan ialah berkaitan dengan budaya membaca dalam kalangan masyarakat. Daripada pemerhatian saya, pelancong asing lebih banyak mengahabiskan masa mereka dengan membaca buku jika hendak dibandingkan dengan warga tempatan yang lebih suka berborak kosong daripada melakukan perkara yang berfaedah. Budaya membaca dalam kalangan orang Barat sangat tinggi dan sudah menjadi kebiasaan mereka untuk berdepan dengan buku pada setiap masa. Kajian juga menunjukkan bahawa orang Barat membaca buku sekurang-kurangnya 100 buah buku dalam masa setahun untuk seorang berbanding dengan rakyat Malaysia yang dikatakan seorang hanya membaca buku sekurang-kurangnya dua buah buku dalam masa setahun. Perbezaan ini amat tinggi dan turut membuktikan bahawa negara kita masih berada pada tahap yang amat rendah dalam memupuk budaya membaca dalam kalangan masyarakat. Justeru, untuk menjadi masyarakat yang berilmu, membaca merupakan amalan yang sangat digalakkan untuk menjadi bangsa yang maju dan berjaya.

     


Situasi 30 : Laras Bahasa

Pelbagai perkara yang dipelajari oleh kami semasa mengikuti pengajaran makro semalam. Antaranya ialah penggunaan laras bahasa mengikut bidang. Kawan saya yang mengajar mengatakan bahawa kita perlu menggunakan laras bahasa yang bersesuaian semasa berinteraksi dengan orang lain. Antara laras bahasa yang diajar semalam iaitu laras bahasa sains, ekonomi, biasa dan sukan. Mengikut Azhan, iaitu kawan saya yang membuat pengajaran makro, dia mengatakan bahawa setiap laras bahasa tersebut mempunyai bahasa-bahasanya yang tersendiri. Misalnya dalam laras bahasa sukan, perkataan seperti menendang, menggelecek, gol dan sebagainya menunjukkan bahawa laras bahasa tersebut tergolong dalam laras bahasa sukan. Begitu juga halnya dengan laras bahasa ekonomi.

Berikut merupakan contoh laras bahasa sains :
Air hujan secara semula jadinya berasid sedikit kerana tindak balasnya dengan gas karbon dioksida dalam atmosfera untuk membentuk asid karbonik. Nilai pH air huajn ialah 5.6.

 Dalam laras bahasa tersebut pasti akan ada perkataan umpama melambung tinggi, menjunam, kenaikan dan sebagainya. Penggunaan perkataan tertentu ini menunjukkan laras bahasa yang digunakan. Justeru, sebagai seorang bakal guru bahasa, kita perlu bijak membezakan antara satu laras bahasa dengan laras bahasa yang lain supaya mudah untuk kita berkomunikasi dengan orang lain. Profesion kita dalam bidang perguruan memerlukan kita bijak berbahasa selain daripada memartabatkan bahasa itu sendiri.

Situasi 29 : ‘Ceciter -ceciter dan Bako je’

Kebelakangan ini pelbagai istilah baru yang muncul daripada masyarakat yang berada di persekitaran saya terutama rakan sekuliah yang sering menggunakan perkataan ‘ceciter ceciter’. Pertama kali saya mendengarnya, saya berasa agak hairan dan tertanya-tanya maksud di sebalik perkataan baru itu. Maklumlah, istilah itu baru muncul sejak akhir-akhir ini. Apabila saya bertanya kepada kawan saya, dia memberitahu bahawa istilah itu merupakan pengaruh bahasa yang terdapat pada sebuah filem tempatan. Betapa cepatnya pengaruh bahasa yang terdapat dalam filem di Malaysia mempengaruhi minda dan budaya masyarakat setempat. Pengaruh ini lama-kelamaan menjadi tradisi sehingga boleh mencemarkan bahasa itu sendiri. Begitu juga dengan istilah ‘bako’, sejak akhir-akhir ini telinga saya sering ditembusi dengan istilah ‘kite bako je, kite bako je’. Walhal istilah yang wujud itu merupakan pengaruh kuat bahasa yang digunakan oleh pengarah dalam filem atau drama yang disunting oleh mereka. Sepatutnya, istilah yang dinyatakan adalah seperti berikut.
                        ceciter = cuba cerita
                        bako = bakar
Namun, untuk menyedapkan bunyi pada perkataan tersebut, maka diwujudkan istilah yang sebelum ini langsung tidak pernah ada dalam mana-mana kamus. Masyarakat pula sememangnya mudah untuk menerima istilah baru dalam perbualan sehari-harian sehingga mereka mencedok bahasa yang dipetik dari dalam filem yang ditonton. Seharusnya, untuk menyemai budaya berbahasa yang tinggi dalam kalangan masyarakat, pihak pengarah filem wajar memastikan bahawa bahasa yang digunakan di dalam filem sesuai untuk masyarakat kita pada hari ini. Filem pula merupakan salah satu alternatif yang boleh dijadikan sebagai medium dalam memastikan masyarakat menggunakan bahasa yang betul dan bukan sebaliknya.

Thursday, March 10, 2011

Situasi 28 : ‘Hhaaah !’

Sudah menjadi kelaziman sewaktu kelas Karya Agung Prof. Abdullah Hassan, suasana di dalam kelas pasti sangat ceria dan menghiburkan. Kami sebagai pelajar sangat suka dengan cara Prof. mengajar dan jika ada kesilapan berbahasa beliau pasti bertindak membetulkannya secepat mungkin. Kemungkinan itulah keistimewaan Prof. di mata kami. Kebetulan, cerita yang ingin disampaikan ini berkaitan dengan cara atau gaya kita berbahasa yang perlu sopan apabila berinteraksi dengan orang lain. Semasa di dalam kelas, Prof. ada menyatakan tentang sesuatu yang saya sendiri sudah lupa perkara yang dibangkitkan. Apa yang pasti perkara tersebut mengejutkan pelajar termasuk saya sendiri. Lantas kami secara serentak terus menjawab, hhaaaaaa???? Kelazimannya, ‘hhaaaaa’ sering menunjukkan ekspresi terkejut dan akibat sudah biasa melakukan perkara tersebut kami turut berbuat demikian di hadapan Prof.. Prof. berhenti sekejap bercakap dan merenung kami dengan penuh makna. Beliau kemudian berkata,
“Cikgu..kenapa perlu buat ‘hhaaaaa’? Tidak sopan cikgu. Muka yang cantik pun boleh berubah menjadi buruk apabila kamu semua ‘hhhaaa hhhaaa hhhhaaaa’. Kena berubah cikgu.”
Kami semua pun tergelak melihat Prof. mengajuk cara kami berbuat demikian. Selang beberapa minit setelah beliau mengingatkan kami supaya tidak berbuat demikian, tiba-tiba seorang daripada kami mengulang kembali sebutan ‘hhaaaa’ itu. Prof. hanya menggelengkan kepala dan disambut hilaian ketawa daripada seluruh kelas. Pengajarannya ialah kita perlu menjaga perilaku semasa berbahasa kerana tanpa kita sedari cara dan gaya penyampaian itu kadang kala boleh memalukan diri kita sendiri.

Situasi 27 : ‘Tidak Siuman’

Teringat pula kelas Prof. Abdullah Hassan pada pagi tadi. Kadang kala tutur kata yang dikeluarkan oleh beliau sangat mencuitkan hati dan menjadikan kelas sangat terhibur dengan gelak tawa dan perkataan baru yang muncul daripada pemikiran beliau. Belajar dengan orang yang berintelektual tinggi sangat seronok. Pelbagai benda baru yang boleh dipelajari yang sebelum ini langsung tak tercapai oleh akal kita. Misalnya, Prof. menggunakan istilah tidak siuman terhadap cara pemakaian seseorang dari aspek warnanya yang pelbagai. Bagi beliau, sudah memadai 3 warna sahaja untuk melihat kita siuman.
“Kalau orang asyik memandang kita menggunakan pakaian yang beraneka warna, maknanya tidak siumanlah si pemakai itu.”
Berdasarkan perkara yang disebut oleh Prof. beliau mengaitkan perbuatan yang tidak siuman dengan pemakaian baju oleh seseorang sedangkan dalam konteks makna yang sebenar tidak siuman membawa pengertian seseorang itu sudah gila, tidak waras dan tidak mampu berfikir untuk mempertimbangkan perkara yang baik dan buruk. Saya beranggapan, dalam konteks ayat seperti yang diujarkan oleh Prof. beliau sebenarnya bertujuan untuk memberikan nilai ‘rasa’ terhadap ujaran yang disampaikan. Seperti penggunaan pantun dalam kalangan masyarakat Melayu tradisional, pantun kadang kala digunakan untuk menyindir dan memberi pengajaran kepada masyarakat. Begitu pula dengan istilah tidak siuman yang dikaitkan Prof. dengan gaya pemakaian seseorang.

Situasi 26 : Bahasa Mencerminkan Bangsa

Semasa menunggu bas untuk ke pekan Tanjong Malim, saya secara tidak sengaja terdengar perbualan 3 orang pelajar wanita yang duduk bersebelahan dengan saya. Ketiga-tiganya seperti dalam keadaan yang tegang dan semacam tidak berpuas hati dengan sesuatu perkara. Tiba-tiba saya terdengara perkataan ‘kereta sapu’. Pada andaian saya sebelum itu, ketiga-tiganya pasti ada kaitan dengan kereta sapu. Ceritanya bermula apabila pelajar wanita 1 itu meluahkan perasaan tidak puas hatinya terhadap pemandu kereta sapu itu.
Pelajar 1 : Aku rasa menyampah je tengok pak cik tue. Kite susah payah call die suh amik pastu antar g pekan, ade ke patut suruh kite naik bas je pergi pekan.
Pelajar 2 : Ntah. Tak betul agaknya orang tua tue.
Pelajar 3 : Kalau takut sangat dengan polis, kenapa suka hati die je nak jadi kereta sapu? Masa polis ade block, baru nak takut.
Pelajar 1: Tau tak pe. Kite plak yang jadi mangsa. Sumpah dah pasnie aku tak naik lagi dah kete org tua tue !
Pelajar 3 : Aku fikirkan kita boleh sampai cepat kat pekan tadi. Hampeh tol !
Dialog yang terdapat di atas menunjukkan serba sedikit perbualan antara kumpulan pelajar tersebut. Sememangnya mereka tidak berpuas hati dengan pak cik kereta sapu yang menghantar mereka semula ke kampus kerana bimbang disekat oleh polis akibat tidak mempunyai lesen kenderaan awam.  Dari satu sudut, pak cik tersebut memang salah tetapi sebagai mahasiswi yang bakal menerajui pimpinan negara pada masa yang akan datang, saya merasakan ketiga-tiganya tidak patut memarahi pak cik tersebut dengan mengeluarkan kata-kata yang kasar yang langsung tidak menunjukkan budaya sebagai pendidik. Saya yang hanya mendengar perbualan mereka sudah berasa hati apatah lagi pak cik yang merupakan sasaran amukan tiga orang mahasiswi yang kurang bijak berkata-kata. Apatah lagi, bahasa yang dilontarkan tidak bersesuian dengan imej pada zahirnya. Perlu kita ingat, bahasa itu mencerminkan bangsa !

Situasi 25 : Tiada Yang Sempurna

Beberapa kelas yang terdapat di Proton City akhir-akhir ini memang terasa bahang kepanasannya. Kemungkinan penghawa dingin di beberapa buah kelas itu rosak. Pensyarah-pensyarah yang memasuki kelas itu sentiasa merungut akan kepanasan yang dirasai sehingga menimbulkan suasana yang sangat tidak selesa. Jika pensyarah lain, saya masih boleh lagi menerima pencampuran bahasa yang digunakan berinteraksi dengan pelajar tetapi pensyarah yang dimaksudkan ini, beliau amat terkenal dengan penggunaan bahasa Melayu yang tinggi di antara pensyarah-pensyarah yang lain. Walau bagaimanapun, saya terpaksa merahsiakan nama pensyarah tersebut untuk menjaga hati semua pihak.
Setelah beberapa minggu beliau tidak memberikan kuliah, pada hari ini beliau masuk ke kelas dengan segak dan bergaya sebagai seorang yang dihormati ramai. Sebaik sahaja masuk ke kelas yang serba panas itu, pensyarah tersebut terus mengajukan soalan seperti ini :
“Kenapa tidak ada aircond?”
Kawan yang duduk di sebelah saya tiba-tiba menyentuh saya tanda memberikan isyarat bahawa penggunaan bahasa yang digunakan oleh pensyarah yang memang terkenal dengan bahasa Melayu yang tinggi itu terdapat juga percampuran dengan bahasa asing iaitu ‘aircond’. Aircond dalam bahasa Melayu merujuk kepada penghawa dingin. Namun, kesilapan pensyarah ini menunjukkan bahawa rakyat Malaysia sebenarnya tidak dapat lari daripada menggunakan bahasa Inggeris dalam bahasa Melayu. Contoh ini menunjukkan kepada kita bahawa tidak ada siapa-siapa yang sempurna sepenuhnya dalam menggunakan bahasa sehari-harian.


Situasi 24 : Peribahasa Melayu

Setiap minggu dalam masa berkuliah itu, saya sentiasa menantikan kelas Pengajaran Teknologi dan Penaksiran 2 terutama semasa setiap kumpulan melakukan pengajaran makro. Pelbagai ragam yang boleh disaksikan dan gelagat yang lucu daripada rakan sekelas sangat menghiburkan untuk mengikuti kelas tersebut. Semasa pengajaran makro, terdapat sebuah kumpulan yang saya sendiri juga lupa orangnya tetapi pensyarah kami ada memberi komen, pandangan dan cadangan yang bernas tentang apa-apa yang diajarkan oleh kumpulan tersebut. Pada hari itu, kumpulan yang dimaksudkan telah menyelitkan sebuah peribahasa yang sememangnya ada digunakan dalam masyarakat Melayu. Peribahasa tersebut berbunyi, ‘buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali.’ Jika sekilas pandang, peribahasa tersebut dianggap sangat biasa dan pasti ada yang tertanya-tanya masalah yang ada di dalam peribahasa tersebut. Saya pada mulanya tidak merasakan ada sebarang masalah tetapi apabila saya mengamati lama-lama, barulah saya tersedar bahawa kritikan Encik Razali itu ada kebenaran. Berbalik semula pada peribahasa tersebut, ‘buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali.’ Sebenarnya pada akhir peribahasa tersebut iaitu buat jahat jangan sekali, terdapat kesilapan jika ditafsir secara teliti. Buat jahat jangan sekali jika hendak ditasirkan maksudnya yang sebenar ialah seolah-olah menyeru kita supaya berterusan melakukan kejahatan dan jangan sekadar melakukannya hanya sekali sahaja. Hal ini bermakna kita boleh melakukan kejahatan untuk kali kedua, ketiga dan seterusnya. Sebaliknya, jika peribahasa tersebut berbunyi, ‘buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sesekali.’ Begitulah peribahasa yang sepatutnya jika dilihat daripada konteks maknanya yang sebenar. Jika tersalah sebut di depan murid-murid, kita sebagai guru yang akan susah kerana peribahasa tersebut seolah-olah menggalakkan lagi perbuatan jahat dalam kalangan murid-murid. Apatah lagi jika murid itu bijak mentafsir maknanya yang sebenar.



Situasi 23 :Bas ‘Proton Siti’

Kebiasaannya, jadual pada hari Khamis sangat padat dan kuliah akan  bermula pada setiap jam 8 pagi dan habis pada jam 5 petang. Sehari-harian berada di kampus merupakan perkara yang amat memenatkan apatah lagi dewan kuliah berasingan. Pada waktu petangnya, kami mempunyai kelas di Taman Bernam dan jarak waktu yang sangat singkat antara kelas yang terdahulu dan kemudiannya membuatkan kami terpaksa terkejar-kejar dari satu tempat ke tempat yang lainnya. Kisah ini pula berlaku semasa pulang dari kelas pada petang ini. Agak lamalah menunggu bas untuk balik semula ke kampus. Dalam setengah jam yang berikutnya, bas yang dinanti-nantikan akhirnya muncul di depan mata. Hujan pula  telah turun renyai-renyai.
Seperti hari-hari yang sebelumnya, aktiviti berebut menaiki bas sudah menjadi kelaziman bagi kami sebagai pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Sewaktu dalam proses berebut itu, saya sempat menjenguk ke cermin bas untuk memastikan bas yang dinaiki betul dan tidak salah seperti hari pertama saya ke kuliah dahulu. Alangkah terkejutnya saya apabila mendapati tulisan yang tertera pada kertas putih itu tertulis ‘Proton Siti’. Saya hampir tergelak besar tetapi saya mengawal diri daripada melakukan perbuatan yang sedemikian rupa. Dalam fikiran saya pada ketika itu, pak cik tersebut seolah-olah memperlekeh ejaan sebenar ‘City’ kepada ‘Siti’. Apabila saya sampai di kampus, saya berniat untuk menangkap gambar tulisan tersebut tetapi akibat hujan yang sangat lebat, saya tidak dapat berbuat sedemikian. Sejujurnya saya katakan, itu adalah pertama kali saya melihat terteranya tulisan ‘Proton Siti’ semenjak dewan kuliah berpindah ke Proton City.
                        



Situasi 22 : Makanan rumpai laut. (Seaweed)

Hampir setiap hari, kebanyakan kelas kami diadakan di Proton City yang tempatnya agak jauh daripada kolej kediaman Ungku Omar dan Harun Aminnurrashid. Suatu pagi yang cerah semasa saya dan dua orang kawan saya berada di dalam bas yang akan bergerak ke Proton City pada pagi itu, seorang kawan saya yang bernama Christina Hulo membawa sebungkus makanan yang di dalamnya terdapat lagi bungkusan-bungkusan yang lebih kecil. Makanan tersebut merupakan produk yang dihasilkan daripada rumpai laut. Saya sememangnya tidak minat untuk memakan makanan rumpai laut itu. Kawan saya Christina pula tidak habis-habis memuji makanan tersebut sedap dimakan. Saya pula hanya menggelengkan kepala. Dia berterusan memujuk sehingga terkeluar ayat tersebut :
“Bie, cuba d try. Sedap.”
Saya yang terus menangkap kata-katanya itu terus tergelak. Kemudiannya saya menjawab.
“Cuba ngau try nya kan sama maksud.Lucu mat d tuk.” (Cuba dan try tue kan mempunyai maksud yang sama. Lucu la awak nie.)
Christina pun turut ketawa selepas itu. Sehingga sampai di Proton City, dia berterusan memakan makanan itu. Sedap katanya !
                     


Tuesday, March 8, 2011

Situasi 21 : Orang Kurang Upaya

Kerja kajian luar yang dilakukan untuk kursus Kesusasteraan Melayu dalam Pembangunan Modal Insan selepas perayaan tahun Baru Cina yang lepas memberi kesempatan kepada saya dan ahli kumpulan yang lain untuk mendalami sendiri kehidupan mereka yang mengalami masalah penglihatan. Kesempatan ini kami gunakan sebaik yang mungkin untuk mendekati mereka dan menyelami perasaan golongan yang kurang upaya ini. Memang pada mulanya saya berasa amat teruja untuk melakukan kajian tindakan ke atas Persatuan Orang Buta Malaysia dan saya terus bersetuju apabila ketua kumpulan kami iaitu Alkilul Nazar mencadangkan tempat tersebut sebagai destinasi kumpulan kami. Berbagai-bagai persoalan dalam minda saya pada ketika itu. Saya tidak tahu bagaimana hendak berinteraksi dengan golongan tersebut, dapatkah mereka berinterasksi tanpa dapat melihat sebarang wajah di depan mereka, dapatkah mereka menerima kelemahan yang ada? Segala-galanya bermain di fikiran saya pada waktu itu sehinggalah saya berpeluang berjumpa dengan mereka sendiri. Rupa-rupanya, apa yang digambarkan saya terjawab akhirnya. Perjumpaan dengan enam orang responden membuktikan pada kami bahawa orang kurang upaya merupakan individu yang sangat kuat dalam mengharungi dugaan yang ditakdirkan dalam hidup mereka. Kesemua responden ini bijak berinteraksi dengan kami dan menggunakan bahasa yang sopan semasa kami menemu ramah mereka. Dalam keadaan yang serba kekurangan seperti itu, kita jarang-jarang sedar bahawa mereka merupakan antara berjuta rakyat Malaysia yang telah mengangkat nama Malaysia di persada antarabangsa. Responden kami yang bernama Razak sangat aktif semasa ditemu ramah. Beliau sangat menghormati orang lain dan peramah orangnya. Pendek kata, semasa sesi menemu ramah, kesemua mereka menggunakan bahasa yang baik. Dalam sesi temu ramah tersebut saya sempat bertanyakan soalan seperti berikut :
“Maafkan kakak jika soalan ini menyinggung perasaan adik-adik sekalian. Dalam keadaan sedemikian, adik-adik tidak berasa tersisih atau berputus asa untuk berjaya seperti orang lain?”
Razak terus menjawab, “Oohh..keadaan yang kami alami langsung tidak melemahkan semangat kami untuk berjaya dalam hidup. Kami anggap ini sebagai kekuatan untuk menempuh hari depan. Kami harap kami boleh berjaya seperti abang-abang dan kakak-kakak sekalian.”


Saya yang mendengar pengakuan Razak itu berasa amat sayu dan terharu melihat semangat mereka untuk berjaya tidak pernah luntur walaupun keadaan mendesak. Sesungguhnya, mereka juga insane ciptaan Tuhan yang Maha Agung dan Maha Pengasih.

Situasi 20 : Anak Buahku

Semester yang berterusan langsung tidak memberikan peluang kepada saya untuk balik seminggu dua ke kampung halaman yang jauh dari pandangan mata. Saya rindu pada orang tua saya, saya rindu anak saya, saya rindu adik-beradik saya dan saya rindu anak-anak buah saya. Apatah lagi, saya jarang-jarang berjumpa dengan kedua-dua kakak saya berikutan kekangan yang tidak dapat dielakkan. Pendek kata, kami semua saling berjauhan dan saling merindui. Petang semalam, saya menelefon kakak saya yang berada di Miri Sarawak. Sempat juga saya berbual dengan anak buah saya yang sangat bijak berkata-kata walaupun umurnya baru mencecah 2 tahun 10 bulan. Anak buah saya yang dipanggil sebagai Didek ini sangat petah bercakap dan seolah-olah saya bercakap dengan kanak-kanak yang berusia 6 tahun. Kesempatan untuk bercakap dengan Didek di corong telefon betul-betul menghiburkan saya. Berikut merupakan perbualan antara saya dengan Didek.
Saya : Alo Didek..Aunty Sebat tok.. ( Saya menggelarkan diri sebagai Aunty Sebat dengan anak-anak kakak saya.)
Didek : Aunty…nama lama nadai telepon kitu? (Aunty…kenapa lama tak telefon?)
Saya : Lama meh. Aunty busy belajar. Nama pengawa Didek? Bc belaya ngau mamy diak?
( Lama la. Aunty kan sibuk belajar. Didek tengah buat apa? Ada bergaduh dengan mamy tak di sana ? )
Didek : Au aunty. Mamy nya sibuk-sibuk. Laban ya bau sayur. Jiran sepiak nya bau kemi.
(Ada aunty. Mamy tue penyibuk sebab tue dia bau sayur. Jiran sebelah pon sama.)
Saya : (Tergelak besar) didek-didek, lucu mat d tuk.
(Didek-didek,lucu betul la kamu nie.)


Didek memang seorang budak yang pintar. Walaupun usianya masih lagi muda, namun dia sudah pandai berbahasa dengan orang lain terutamanya orang yang lebih tua daripadanya. Kakak saya iaitu ibunya sendiri turut mengagumi kepintaran anaknya bercakap dan berkomunikasi dengan orang lain.


Situasi 19 : Datuk yang Berjasa

Semasa cuti semester yang lepas, saya sempat berkunjung ke sekolah tempat ayah saya mengajar. Sememangnya saya amat janggal berada di kawasan itu, namun saya mengenali penjaga sekolah yang saya panggil sebagai ‘aki’ (datuk) yang banyak memberikan sumbangan yang besar kepada penduduk kampung di kawasan tersebut. Datuk saya itu merupakan ayah mentua kepada pak cik saya yang telah meninggal 10 tahun yang lepas. Walaupun pak cik saya telah lama meninggal dunia, namun kami tidak pernah terputus hubungan dengan saudara sebelah mak cik saya. Kebetulan pula ayah saya ditempatkan mengajar di kawasan kampung  tersebut. berbalik semula kepada datuk saya itu, beliau merupakan ketua kampong yang dihormati di kawasan tersebut. Jasanya sangat besar kepada penduduk apabila sanggup mendermakan tanah untuk dijadikan bangunan sekolah. Saya amat mengagumi datuk itu kerana sanggup berkorban untuk melihat anak bangsanya sendiri maju seperti orang lain juga. Seperti biasa, keramahannya untuk menegur sesiapa menjadikan beliau merupakan individu yang mudah didampingi dan seronok diajak berbual. Ketibaan saya di sekolah tersebut seolah-olah dinantikan oleh datuk tersebut. Dari jauh lagi beliau tersenyum manakala saya pula memang sudah bersedia untuk menjawab setiap persoalan yang diajukan oleh datuk saya yang peramah ini.
Datuk : Ucu, kemaia d pulai sekul ri menua jauh? Lama amat nda meda kitak.
(Cucu, bila balik bercuti nie? Lama sangat tidak berjumpa dengan kamu semua.)
Saya : Empai lama dah datai ba menua meh tuk aki. Cuti panjai kami. Nama berita d aki? Gerai d nyaga sekul ditu?
( Baru je balik beberapa hari yang lepas. Cuti panjang. Datuk apa khabar? Sihat ke sambil jaga sekolah nie?)
Datuk : Gerai semadi meh tuk ucu. Gaga ku meda kitak pulai ucu. Belajar jauh-jauh asal meh ila nyadi urang menyana. Ulih ngemaju k bansa kitai empu.
( Sihat macam nie la. Datuk gembira tengok kamu balik. Walaupun belajar jauh-jauh di tempat orang, tak apa lah cucu. Yang penting, bila dah keluar nanti, kamu jadi orang yang berguna, jadi bangsa yang maju.)
Saya : Au aki. Aku sigi enda ngasuh kitak semua asa ngapa.
( Baik datuk. Saya pasti tidak menghampakan kamu semua.)

Begitulah datuk saya itu. Beliau sangat mengambil berat tentang pelajaran dan masa depan cucu-cucunya. Sikapnya yang peramah bukan sahaja dalam kalangan ahli keluarga dan saudara yang terdekat sahaja, namun beliau sentiasa peramah dengan semua orang dan menggunakan bahasa yang sopan dan lembut ketika berbicara dengan orang. Justeru, tidak hairan beliau sangat dihormati penduduk kampung serta guru-guru yang mengajar di sekolah tersebut. Seharusnya sikap dan perilaku datuk tersebut perlu dicontohi oleh semua pihak.


Situasi 18 : Tradisi Mengumpat

Dalam perbualan sehari-harian, kita memerlukan bahasa sebagai medium untuk menyampaikan maklumat kepada orang lain. Bahasa memainkan peranan yang amat penting. Namun, apa yang ingin diceritakan oleh saya ialah berkaitan penggunaan bahasa yang digunakan oleh sesetengah individu yang menggunakannya untuk tujuan yang tidak baik seperti menggunakan bahasa untuk tujuan mengumpat dan mengeluarkan kata-kata kesat. Sudah pasti ia perkara yang sangat menyedihkan. Saya sendiri mengalami peristiwa ini apabila terdengar seorang wanita yang berusia pertengahan menggunakan bahasa yang tidak elok untuk mengumpat. Kejadian ini berlaku di sebuah rumah panjang yang menjadi tempat kediaman orang Iban. Sudah menjadi lumrah bagi kaum wanita untuk mengumpat apa-apa sahaja yang membuatkan mereka tidak berpuas hati dengan sesuatu perkara. Kisah yang disampaikan ini berkaitan dengan seorang wanita yang bernama Gelinggi dan Mala yang sentiasa tidak berpuas hati dengan orang lain. Saya yang berada berdekatan dengan mereka berdua hanya mampu menggelengkan kepala melihat sikap mereka yang tidak pernah hendak berubah.

Gelinggi : Peda d wai anak Indai Mary nya, ngenyala meh nya amat pandai meda ke masuk U?
(Kamu rasa kan, betul ke anak Mak Mary tue pandai sangat? Konon-kononnya dapat masuk universiti.)
Mala : Nya meh wai. Anak ku Jenny nya pandai gik. Nda meh ulih ngau urang masuk U
(Tue lah pasal. Anak saya si Jenny tue lagi pandai daripada anak Mak Mary tue. Tapi tak dapat juga masuk universiti.)
Gelinggi : Masuk u nda meh k confem bulih keja ila.ngenusah kdiri aja nyekul k anak jauh-jauh.
(Masuk universiti pon belum tentu dapat kerja lepas keluar nanti. Menyusahkan saja hantar anak belajar jauh-jauh.)
Mala : Nda ngawa nya wai. Urang gak sigi mayuh duit.
( Tak apa lah.Dia kan banyak duit.)

Saya yang mendengar perbualan mereka berdua hanya menggelengkan kepala sahaja. Saya berasa sangat sedih kerana ada juga manusia yang masih dengki dengan kejayaan orang lain. Hampir setiap masa saya mendengar mereka berdua mencaci, mencemuh dan mengumpat orang yang berada di sekeliling mereka.Sebaik-baiknya, gunakanlah bahasa dengan perkara yang berfaedah dan tidak memburukkan orang semata-mata.

Monday, March 7, 2011

Situasi 17 : Anak Tercinta

Berpisah dengan anak kesayangan dalam jangka waktu yang lama betul-betul membuatkan saya menjadi perantau yang kerinduan di negeri orang. Bukan mudah untuk menghadapinya tetapi saya berusaha untuk tabah dan sabar berjauhan dengan permata hati saya. Setiap kali saya merinduinya, saya pasti akan menelefon Xavia tanpa mengira masa dan waktu. Bagi saya, itulah satu-satunya cara untuk saya melepaskan rindu yang tidak tertahan. Dahulu, setiap kali telefon saya akan berasa puas sekiranya dapat mendengar Xavia gelak ketawa. Maklumlah pada waktu itu, Xavia belum tahu bercakap dan tidak mengerti apa-apa yang diperkatakan orang di sekelilingnya. Namun, apabila usia Xavia sudah menganjak ke angka 1, Xavia sudah pandai menyebut satu patah kata dan kini Xavia sudah bijak bercakap dan faham setiap kata-kata yang dilontarkan kepadanya. Saya berasa sangat terharu dan gembira apabila mendengar Xavia bercakap di corong-corong telefon setiap kali saya membuat panggilan kepadanya yang jauh di mata. Berikut merupakan perbualan antara saya dan Xavia :

(Xavia)
Saya : Halo Xavia..
Xavia : Lo mamy..Mamyyyy !!!! (sambil menjerit-jerit memanggil saya)
Saya : Ye sayang…kini mamy nadai mang? (Mamy pergi mana sayang)
Xavia : Mamy cekol. Pan biun..tinggi ! (Mamy pergi sekolah. Naik kapal terbang tinggi-tinggi)
Saya : Alololo…kacih mat Via kena tinggal mamy.. sayang mamy dulu mang..(Kesian Xavia ditinggalkan oleh mamy. Cium mamy dulu sayang)
Xavia : Muuaaahhh..lap u mamy (muuaaahhh..love u mamy)
Saya : muuaaahhhh…love u too sayang. Belagu dulu diak mang. (sayang menyanyi dahulu boleh tak? )
Xavia : “ibu…ibu…kaulah tatu hatiku
Bila ku berduka, kau ibur slalu
Ibu..ibu..kau tatu hatiku”
Saya : apuuu..pandai sulu mamy belagu Ibu ! (Wah, pandainya buah hati mamy menyanyikan lagu Ibu.
Xavia : hek hek hek (ketawa bangga)

Kepetahan Xavia bercakap membuatkan saya semakin merinduinya saban hari. Justeru, sehari saya tidak bercakap dengan Xavia, seolah-olah ada sesuatu yang tidak lengkap dalam hidup saya. Ibu saya turut memberitahu bahawa Xavia sekarang sememangnya sudah pandai berkawan dan berinteraksi dengan orang-orang yang berada di sekelilingnya. Saya pula hanya menghitung hari untuk menghabiskan saki-baki hidup sebagai pelajar di UPSI untuk meluangkan sepenuh masa saya kepada suami dan anak tercinta.





Situasi 16 : Kata-kata yang Terakhir

Perjalanan dari Ipoh ke Tanjong Malim menggunakan kereta api ETS itu hanya mengambil masa satu jam sahaja. Terasa perjalanan itu amat jauh walaupun hanya mengambil masa yang singkat apatah lagi jika tiada teman untuk diajak berbual.Kepulangan bercuti dari Ipoh semasa cuti Tahun Baru Cina yang lepas memberi peluang kepada saya untuk berkenalan dengan seorang wanita yang berbangsa Cina yang duduk bersebelahan dengan saya pada ketika itu. Saya akui memang wanita itu terlalu murah dengan senyuman dan wajahnya nampak muda daripada usia yang sebenar. Pada mulanya, saya hanya mampu membalas kembali senyuman beliau dan tidak pula berhasrat untuk menegurnya sehinggalah beliau memulakan perbualan terlebih dahulu.
Wanita : Adik nak ke mana nie?
Saya : Saya nak ke Tanjong Malim. (ringkas dan padat menjawab)
Wanita : ooo…. Adik belajar ke di Tanjong Malim?
Saya : Ya. Saya belajar di UPSI.
Wanita : Di UPSI ? Jadi, kamu ambil bidang pendidikan la?
Saya : Ya. Pendidikan Bahasa Melayu.
Wanita : Berapa lama lagi belajar di UPSI?
Saya : Tidak sampai setahun lagi tamat pengajian.
Wanita : ermmm… jadi dari Ipoh ni balik bercuti ka?
Saya : Ha ah. Saya bercuti di rumah abang saya.
Wanita : OIC.. adik ni berasal dari mana? Muslim o Kristian?
Saya : Saya dari Sarawak dan beragama Kristian
Wanita : hrmmm… (sambil mengangukkan kepala) mazhab apa ?
Saya : Anglican
Wanita : baguslah adik. Walaupun kita jauh dari tempat asal, yang penting hati kita perlu sentiasa dekat dengan Tuhan.
Di kala wanita itu menghabiskan ayatnya yang terakhir itu, saya mula merasakan ada sesuatu yang istimewa di dalam dirinya. Daripada gaya beliau bercakap, tidak hairan beliau ini merupakan salah seorang manusia yang sangat mendekati Tuhan dan saya kagum dengan perilakunya yang sopan tidak kira dari aspek bahasa mahupun tingkah lakunya. Saya pula sangat selesa apabila berbual dengan beliau dan terasa jiwa saya sangat tenang pada ketika itu. Saya amat menghargai wanita itu dan sampai bila-bila saya pasti akan memegang kata-katanya yang terakhir itu dalam menempuhi kehidupan di dunia yang penuh dengan pancarobanya.



Sunday, March 6, 2011

Situasi 15 : Di Kalangan atau Dalam Kalangan

Sehingga ke hari ini, saya masih tertanya-tanya sejauh mana penggunaan bahasa Melayu tinggi berkesan digunakan sepenuhnya oleh masyarakat Malaysia sama ada digunakan untuk berkomunikasi atau tulisan semata-mata. Hal ini kerana terdapat banyak kesalahan yang dapat dikenal pasti sewaktu seseorang itu berbahasa atau menulis sesuatu rencana. Misalnya, dalam media cetak seperti surat khabar, bahasa dimanipulasi seadanya tanpa menghiraukan betul atau salah penggunaannya. Bukan itu sahaja, masih banyak lagi kesalahan bahasa yang dijumpai di dalam media elektronik. Saya sendiri pernah memasuki laman sesawang sebuah institusi pengajian tinggi yang masih menggunakan perkataan 'di kalangan' sedangkan 'di kalangan' sudah tidak lagi digunakan dan sepatutnya ialah 'dalam kalangan'. Namun, sesetengah pihak hanya memandang isu ini sebagai perkara yang remeh-temeh sahaja walhal mereka sendiri sedar penggunaannya yang salah. Kecenderungan menggunakan bahasa yang salah akan memburukkan lagi keadaan apabila seseorang itu berterusan melakukan perkara yang sama. Bahasa yang tinggi tidak lagi digunakan malah kecelaruan berterusan tanpa memikirkan kesannya di hari depan. Surat khabar yang sepatutnya medium untuk menyampaikan berita wajar menggunakan bahasa yang betul dari segi sintaksis dan semantiknya supaya masyarakat di luar sana tidak terikut-ikut dengan kesalahan yang sememangnya sudah nyata dan diketahui umum.

Situasi 14 : Pemandu Kereta Sapu

Manusia di muka bumi ini sememangnya mempunyai pelbagai ragam dan gaya yang tersendiri. Individu yang berbeza turut menunjukkan perilaku yang berbeza. Kisah yang ingin saya sampaikan ini berkaitan dengan pemandu kereta sapu di sekitar pekan Tanjong Malim. Ada yang baik dan ada yang buruk perangainya. Kisah yang pertama ini merupakan cerita seorang warga emas yang dipanggil sebagai Pak Din. Pak Din merupakan pemandu kereta sewa yang sangat baik dan berbahasa santun orangnya. Pada mulanya saya menggunakan kereta Pak Din, saya rasa takut dan berbagai-bagai perkara yang bermain di dalam fikiran saya. Mana tidaknya apabila sering berlaku perkara-perkara yang tidak diingini berlaku. Namun, Pak Din bukan seperti orang yang dimaksudkan. Beliau sangat menjaga hati pelanggan dan sering mengajak berbual setiap kali saya dan rakan-rakan yang lain menggunakan kereta sapunya untuk ke pekan. Berikut merupakan situasi apabila pertama kali saya menggunakan kereta sapu Pak Din.

Pak Din : Anak datang daripada mana nie bawa barang banyak-banyak?
Saya      :  Saya baru datang dari Grand Union pak cik. Beli barang keperluan.
Pak Din : Hrmmm...kenapa susah-susah bawa barang banyak. Jauh tue dari stesen bas nie.
Saya      : Tue la pak cik. Bukan senang nak suruh pemandu kereta sapu ambil di Grand Union. Terpaksa juga saya bawa dari jauh-jauh nie. Berat la juga.
Pak Din : Lain kali tak payah susah-susah. Panggil saja pak cik. Pak cik akan datang. Biasanya pak cik memang begini. Kalau ada pelajar UPSI, kalau mereka nak singgah sebentar, pak cik akan berhentikan kereta. Yang penting kena jaga hati pelanggan. Baru orang suka kita. Jangan kita marah-marah, tidak utamakan pelanggan.

Perjumpaan saya dengan Pak Din benar-benar mengingatkan saya sewaktu menggunakan kereta sapu salah seorang antara mereka yang berbangsa India. Pak cik tersebut sangat kasar dan mukanya yang ganas betul-betul menakutkan saya. Sikap Pak Din dan Pak cik India itu betul-betul berbeza. Pak cik yang berbangsa India sangat kasar bahasanya dan menyebabkan hati saya menjadi kecut.

Pak cik India : Mahu pergi mana nie ??? ( dalam nada menengking )
Saya             : Mahu balik kolej pak cik.
Pak cik India : Yala saya tahu kolej. Kolej mana?
Saya             : KHAR.
(Pak cik tersebut terus memecut laju keretanya tanpa mempedulikan saya sebagai pelanggannya pada waktu itu.)

Perbuatan yang ditunjukkan oleh pak cik tersebut sangat kurang ajar. Bahasanya juga membuatkan saya takut dan tidak berani untuk berkomunikasi dengannya lagi jika hendak dibandingkan dengan Pak Din. Kedua-duanya mempunyai perilaku dan bahasa yang berbeza digunakan sewaktu berinteraksi dengan pelanggan.

Situasi 13 : Tak Kenal Maka Tak Cinta

Kebiasaannya tempat baru sering menjanjikan pengalaman dan kenangan baru kepada kita. Keadaan ini menunjukkan pepatah Melayu yang tidak pernah lupus ditelan zaman iaitu pepatah 'tak kenal maka tak cinta.' Pepatah ini digambarkan apabila pertama kali saya menjejakkan kaki ke sekolah baru tempat ayah saya mengajar. Pertama kali menjejakkan kaki ke situ, saya tidak merasakan kalau ada apa-apa perkara yang menarik. Bagi saya, kawasan di situ sangat sunyi dan kadang kala terasa bosan untuk berada lama di situ. Namun, setelah berjam-jam duduk di pejabat ayah saya, tiba-tiba saya didatangi seorang guru selaku tetamu ayah saya. Saya menjemputnya duduk lantas saya mula menggunakan bahasa Inggeris sewaktu berkomunikasi dengan beliau kerana cikgu tersebut merupakan cikgu berbangsa Cina. Setelah berkenalan dengan Encik Ting, kami pun berbual panjang dan entah bagaimana Encik Ting mula berbahasa Melayu dengan saya. Pada mulanya, memang saya berasa agak terkejut dan terdiam seketika. Mana tidaknya, penggunaan bahasa Melayu beliau sangat baik dan langsung tidak ada keluar loghat Cina seperti mereka yang lainnya. Bahasanya memang 100% menggunakan bahasa Melayu tinggi dan pada ketika itu saya seolah-olah bercakap dengan cikgu berbangsa Melayu. Perbualan kami menjadi lebih mesra apabila saya memberitahu bahawa saya mengambil jurusan Bahasa Melayu di UPSI. Encik Ting pun turut memberitahu bahawa beliau memang mengajar bahasa Melayu di sekolah tempat ayah saya mengajar tersebut. Sekali lagi saya tergamam mendengar pengakuan beliau. Saya amat kagum dengan kebolehannya berbahasa dan tidak hairan jika beliau diarah untuk mengajar Pendidikan Bahasa Melayu. Sebelum ini, saya jarang-jarang berjumpa dengan masyarakat Cina yang petah dan langsung tidak mengeluarkan loghat Cina mereka yang pekat itu. Pada waktu yang sama, saya turut berasa bersalah dan malu kerana pada mulanya saya mengajak Encik Ting berkomunikasi dalam bahasa Inggeris padahal beliau sangat arif menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di negara kita. Walaupun perjumpaan  hanya mengambil masa yang singkat sahaja, namun sangat memberikan makna kepada saya. Sesungguhnya perjumpaan dengan cikgu tersebut tak ubah seperti peribahasa tak kenal maka tak cinta.