Friday, March 11, 2011

Situasi 31 : Budaya Membaca

Kembali mengimbau setiap kali musim cuti semester, sudah menjadi kebiasaan bagi pelajar Sabah dan Sarawak untuk bermalam di lapangan terbang bagi menunggu masa penerbangan pada awal paginya. Semasa berada di lapangan terbang, pelbagai ragam manusia yang kita boleh lihat. Pelancong asing dan tempatan memenuhi setiap ruang di terminal tersebut. Masing-masing dengan kerja sendiri. Dalam menunggu masa penerbangan untuk balik ke Sarawak, saya asyik memerhati gelagat penumpang yang berada di terminal pada waktu itu. Biasanya, lapangan terbang sentiasa dipenuhi pelancong asing yang pergi dan balik ke Malaysia. Ceritera yang ingin saya sampaikan ialah berkaitan dengan budaya membaca dalam kalangan masyarakat. Daripada pemerhatian saya, pelancong asing lebih banyak mengahabiskan masa mereka dengan membaca buku jika hendak dibandingkan dengan warga tempatan yang lebih suka berborak kosong daripada melakukan perkara yang berfaedah. Budaya membaca dalam kalangan orang Barat sangat tinggi dan sudah menjadi kebiasaan mereka untuk berdepan dengan buku pada setiap masa. Kajian juga menunjukkan bahawa orang Barat membaca buku sekurang-kurangnya 100 buah buku dalam masa setahun untuk seorang berbanding dengan rakyat Malaysia yang dikatakan seorang hanya membaca buku sekurang-kurangnya dua buah buku dalam masa setahun. Perbezaan ini amat tinggi dan turut membuktikan bahawa negara kita masih berada pada tahap yang amat rendah dalam memupuk budaya membaca dalam kalangan masyarakat. Justeru, untuk menjadi masyarakat yang berilmu, membaca merupakan amalan yang sangat digalakkan untuk menjadi bangsa yang maju dan berjaya.

     


No comments:

Post a Comment