Thursday, March 10, 2011

Situasi 23 :Bas ‘Proton Siti’

Kebiasaannya, jadual pada hari Khamis sangat padat dan kuliah akan  bermula pada setiap jam 8 pagi dan habis pada jam 5 petang. Sehari-harian berada di kampus merupakan perkara yang amat memenatkan apatah lagi dewan kuliah berasingan. Pada waktu petangnya, kami mempunyai kelas di Taman Bernam dan jarak waktu yang sangat singkat antara kelas yang terdahulu dan kemudiannya membuatkan kami terpaksa terkejar-kejar dari satu tempat ke tempat yang lainnya. Kisah ini pula berlaku semasa pulang dari kelas pada petang ini. Agak lamalah menunggu bas untuk balik semula ke kampus. Dalam setengah jam yang berikutnya, bas yang dinanti-nantikan akhirnya muncul di depan mata. Hujan pula  telah turun renyai-renyai.
Seperti hari-hari yang sebelumnya, aktiviti berebut menaiki bas sudah menjadi kelaziman bagi kami sebagai pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Sewaktu dalam proses berebut itu, saya sempat menjenguk ke cermin bas untuk memastikan bas yang dinaiki betul dan tidak salah seperti hari pertama saya ke kuliah dahulu. Alangkah terkejutnya saya apabila mendapati tulisan yang tertera pada kertas putih itu tertulis ‘Proton Siti’. Saya hampir tergelak besar tetapi saya mengawal diri daripada melakukan perbuatan yang sedemikian rupa. Dalam fikiran saya pada ketika itu, pak cik tersebut seolah-olah memperlekeh ejaan sebenar ‘City’ kepada ‘Siti’. Apabila saya sampai di kampus, saya berniat untuk menangkap gambar tulisan tersebut tetapi akibat hujan yang sangat lebat, saya tidak dapat berbuat sedemikian. Sejujurnya saya katakan, itu adalah pertama kali saya melihat terteranya tulisan ‘Proton Siti’ semenjak dewan kuliah berpindah ke Proton City.
                        



No comments:

Post a Comment