Monday, March 7, 2011

Situasi 16 : Kata-kata yang Terakhir

Perjalanan dari Ipoh ke Tanjong Malim menggunakan kereta api ETS itu hanya mengambil masa satu jam sahaja. Terasa perjalanan itu amat jauh walaupun hanya mengambil masa yang singkat apatah lagi jika tiada teman untuk diajak berbual.Kepulangan bercuti dari Ipoh semasa cuti Tahun Baru Cina yang lepas memberi peluang kepada saya untuk berkenalan dengan seorang wanita yang berbangsa Cina yang duduk bersebelahan dengan saya pada ketika itu. Saya akui memang wanita itu terlalu murah dengan senyuman dan wajahnya nampak muda daripada usia yang sebenar. Pada mulanya, saya hanya mampu membalas kembali senyuman beliau dan tidak pula berhasrat untuk menegurnya sehinggalah beliau memulakan perbualan terlebih dahulu.
Wanita : Adik nak ke mana nie?
Saya : Saya nak ke Tanjong Malim. (ringkas dan padat menjawab)
Wanita : ooo…. Adik belajar ke di Tanjong Malim?
Saya : Ya. Saya belajar di UPSI.
Wanita : Di UPSI ? Jadi, kamu ambil bidang pendidikan la?
Saya : Ya. Pendidikan Bahasa Melayu.
Wanita : Berapa lama lagi belajar di UPSI?
Saya : Tidak sampai setahun lagi tamat pengajian.
Wanita : ermmm… jadi dari Ipoh ni balik bercuti ka?
Saya : Ha ah. Saya bercuti di rumah abang saya.
Wanita : OIC.. adik ni berasal dari mana? Muslim o Kristian?
Saya : Saya dari Sarawak dan beragama Kristian
Wanita : hrmmm… (sambil mengangukkan kepala) mazhab apa ?
Saya : Anglican
Wanita : baguslah adik. Walaupun kita jauh dari tempat asal, yang penting hati kita perlu sentiasa dekat dengan Tuhan.
Di kala wanita itu menghabiskan ayatnya yang terakhir itu, saya mula merasakan ada sesuatu yang istimewa di dalam dirinya. Daripada gaya beliau bercakap, tidak hairan beliau ini merupakan salah seorang manusia yang sangat mendekati Tuhan dan saya kagum dengan perilakunya yang sopan tidak kira dari aspek bahasa mahupun tingkah lakunya. Saya pula sangat selesa apabila berbual dengan beliau dan terasa jiwa saya sangat tenang pada ketika itu. Saya amat menghargai wanita itu dan sampai bila-bila saya pasti akan memegang kata-katanya yang terakhir itu dalam menempuhi kehidupan di dunia yang penuh dengan pancarobanya.



No comments:

Post a Comment