Sunday, March 6, 2011

Situasi 15 : Di Kalangan atau Dalam Kalangan

Sehingga ke hari ini, saya masih tertanya-tanya sejauh mana penggunaan bahasa Melayu tinggi berkesan digunakan sepenuhnya oleh masyarakat Malaysia sama ada digunakan untuk berkomunikasi atau tulisan semata-mata. Hal ini kerana terdapat banyak kesalahan yang dapat dikenal pasti sewaktu seseorang itu berbahasa atau menulis sesuatu rencana. Misalnya, dalam media cetak seperti surat khabar, bahasa dimanipulasi seadanya tanpa menghiraukan betul atau salah penggunaannya. Bukan itu sahaja, masih banyak lagi kesalahan bahasa yang dijumpai di dalam media elektronik. Saya sendiri pernah memasuki laman sesawang sebuah institusi pengajian tinggi yang masih menggunakan perkataan 'di kalangan' sedangkan 'di kalangan' sudah tidak lagi digunakan dan sepatutnya ialah 'dalam kalangan'. Namun, sesetengah pihak hanya memandang isu ini sebagai perkara yang remeh-temeh sahaja walhal mereka sendiri sedar penggunaannya yang salah. Kecenderungan menggunakan bahasa yang salah akan memburukkan lagi keadaan apabila seseorang itu berterusan melakukan perkara yang sama. Bahasa yang tinggi tidak lagi digunakan malah kecelaruan berterusan tanpa memikirkan kesannya di hari depan. Surat khabar yang sepatutnya medium untuk menyampaikan berita wajar menggunakan bahasa yang betul dari segi sintaksis dan semantiknya supaya masyarakat di luar sana tidak terikut-ikut dengan kesalahan yang sememangnya sudah nyata dan diketahui umum.

No comments:

Post a Comment