Friday, March 4, 2011

Situasi 11 : Kecelaruan Bahasa

Minggu pengajaran makro untuk kursus Pengajaran Teknologi dan Penaksiran 2 betul-betul mencabar kami untuk menggunakan sepenuhnya penggunaan bahasa Melayu yang tinggi sewaktu proses mengajar. Namun, keadaan ini bukan mudah untuk dipraktikkan sepenuhnya. Sebagai seorang pelajar, kami juga tidak lari daripada kesilapan yang kadang kala tidak kami sedari. Pensyarah kami, Encik Razali berulang kali mengingatkan supaya tidak mencampuradukkan bahasa Melayu tinggi dengan bahasa harian yang sering digunakan setiap kali berkomunikasi dengan rakan-rakan, keluarga dan orang yang terdekat dengan kita. Namun, setiap kali beliau mengingatkan kami, setiap kali itu juga kami sering melakukan kesalahan yang sama. Walau bagaimanapun, Encik Razali boleh menerima kelemahan dan beliau sering menasihati kami supaya menggunakan bahasa Melayu yang betul untuk mengajar supaya anak murid kelak tidak mengikut kesalahan bahasa seperti yang dilakukan oleh guru. Antara kesalahan yang sering dilakukan oleh kami ialah penggunaan kata 'dekat' dan 'di' untuk menunjukkan tempat. Misalnya, 'dekat sana' merupakan contoh penggunaan bahasa yang salah manakala 'di sana' merupakan contoh yang betul. Walau bagaimanapun, penggunaan 'dekat sana' lebih kerap digunakan berikutan pengaruh daripada bahasa komunikasi 'kat sana' sehingga membuatkan kami terikut-ikut dengan penggunaan bahasa tersebut semasa melakukan pengajaran makro. Begitu juga dengan perkataan 'OK'. Sepatutnya dalam bahasa Melayu, 'OK' boleh disebut sebagai 'Baiklah'. Pengaruh penggunaan bahasa Inggeris sememangnya kuat bukan sahaja semasa kami menjalankan pengajaran makro tetapi kerap digunakan dalam kalangan masyarakat pada hari ini.

No comments:

Post a Comment