Tuesday, March 8, 2011

Situasi 21 : Orang Kurang Upaya

Kerja kajian luar yang dilakukan untuk kursus Kesusasteraan Melayu dalam Pembangunan Modal Insan selepas perayaan tahun Baru Cina yang lepas memberi kesempatan kepada saya dan ahli kumpulan yang lain untuk mendalami sendiri kehidupan mereka yang mengalami masalah penglihatan. Kesempatan ini kami gunakan sebaik yang mungkin untuk mendekati mereka dan menyelami perasaan golongan yang kurang upaya ini. Memang pada mulanya saya berasa amat teruja untuk melakukan kajian tindakan ke atas Persatuan Orang Buta Malaysia dan saya terus bersetuju apabila ketua kumpulan kami iaitu Alkilul Nazar mencadangkan tempat tersebut sebagai destinasi kumpulan kami. Berbagai-bagai persoalan dalam minda saya pada ketika itu. Saya tidak tahu bagaimana hendak berinteraksi dengan golongan tersebut, dapatkah mereka berinterasksi tanpa dapat melihat sebarang wajah di depan mereka, dapatkah mereka menerima kelemahan yang ada? Segala-galanya bermain di fikiran saya pada waktu itu sehinggalah saya berpeluang berjumpa dengan mereka sendiri. Rupa-rupanya, apa yang digambarkan saya terjawab akhirnya. Perjumpaan dengan enam orang responden membuktikan pada kami bahawa orang kurang upaya merupakan individu yang sangat kuat dalam mengharungi dugaan yang ditakdirkan dalam hidup mereka. Kesemua responden ini bijak berinteraksi dengan kami dan menggunakan bahasa yang sopan semasa kami menemu ramah mereka. Dalam keadaan yang serba kekurangan seperti itu, kita jarang-jarang sedar bahawa mereka merupakan antara berjuta rakyat Malaysia yang telah mengangkat nama Malaysia di persada antarabangsa. Responden kami yang bernama Razak sangat aktif semasa ditemu ramah. Beliau sangat menghormati orang lain dan peramah orangnya. Pendek kata, semasa sesi menemu ramah, kesemua mereka menggunakan bahasa yang baik. Dalam sesi temu ramah tersebut saya sempat bertanyakan soalan seperti berikut :
“Maafkan kakak jika soalan ini menyinggung perasaan adik-adik sekalian. Dalam keadaan sedemikian, adik-adik tidak berasa tersisih atau berputus asa untuk berjaya seperti orang lain?”
Razak terus menjawab, “Oohh..keadaan yang kami alami langsung tidak melemahkan semangat kami untuk berjaya dalam hidup. Kami anggap ini sebagai kekuatan untuk menempuh hari depan. Kami harap kami boleh berjaya seperti abang-abang dan kakak-kakak sekalian.”


Saya yang mendengar pengakuan Razak itu berasa amat sayu dan terharu melihat semangat mereka untuk berjaya tidak pernah luntur walaupun keadaan mendesak. Sesungguhnya, mereka juga insane ciptaan Tuhan yang Maha Agung dan Maha Pengasih.

No comments:

Post a Comment