Thursday, March 10, 2011

Situasi 27 : ‘Tidak Siuman’

Teringat pula kelas Prof. Abdullah Hassan pada pagi tadi. Kadang kala tutur kata yang dikeluarkan oleh beliau sangat mencuitkan hati dan menjadikan kelas sangat terhibur dengan gelak tawa dan perkataan baru yang muncul daripada pemikiran beliau. Belajar dengan orang yang berintelektual tinggi sangat seronok. Pelbagai benda baru yang boleh dipelajari yang sebelum ini langsung tak tercapai oleh akal kita. Misalnya, Prof. menggunakan istilah tidak siuman terhadap cara pemakaian seseorang dari aspek warnanya yang pelbagai. Bagi beliau, sudah memadai 3 warna sahaja untuk melihat kita siuman.
“Kalau orang asyik memandang kita menggunakan pakaian yang beraneka warna, maknanya tidak siumanlah si pemakai itu.”
Berdasarkan perkara yang disebut oleh Prof. beliau mengaitkan perbuatan yang tidak siuman dengan pemakaian baju oleh seseorang sedangkan dalam konteks makna yang sebenar tidak siuman membawa pengertian seseorang itu sudah gila, tidak waras dan tidak mampu berfikir untuk mempertimbangkan perkara yang baik dan buruk. Saya beranggapan, dalam konteks ayat seperti yang diujarkan oleh Prof. beliau sebenarnya bertujuan untuk memberikan nilai ‘rasa’ terhadap ujaran yang disampaikan. Seperti penggunaan pantun dalam kalangan masyarakat Melayu tradisional, pantun kadang kala digunakan untuk menyindir dan memberi pengajaran kepada masyarakat. Begitu pula dengan istilah tidak siuman yang dikaitkan Prof. dengan gaya pemakaian seseorang.

No comments:

Post a Comment