Thursday, March 10, 2011

Situasi 25 : Tiada Yang Sempurna

Beberapa kelas yang terdapat di Proton City akhir-akhir ini memang terasa bahang kepanasannya. Kemungkinan penghawa dingin di beberapa buah kelas itu rosak. Pensyarah-pensyarah yang memasuki kelas itu sentiasa merungut akan kepanasan yang dirasai sehingga menimbulkan suasana yang sangat tidak selesa. Jika pensyarah lain, saya masih boleh lagi menerima pencampuran bahasa yang digunakan berinteraksi dengan pelajar tetapi pensyarah yang dimaksudkan ini, beliau amat terkenal dengan penggunaan bahasa Melayu yang tinggi di antara pensyarah-pensyarah yang lain. Walau bagaimanapun, saya terpaksa merahsiakan nama pensyarah tersebut untuk menjaga hati semua pihak.
Setelah beberapa minggu beliau tidak memberikan kuliah, pada hari ini beliau masuk ke kelas dengan segak dan bergaya sebagai seorang yang dihormati ramai. Sebaik sahaja masuk ke kelas yang serba panas itu, pensyarah tersebut terus mengajukan soalan seperti ini :
“Kenapa tidak ada aircond?”
Kawan yang duduk di sebelah saya tiba-tiba menyentuh saya tanda memberikan isyarat bahawa penggunaan bahasa yang digunakan oleh pensyarah yang memang terkenal dengan bahasa Melayu yang tinggi itu terdapat juga percampuran dengan bahasa asing iaitu ‘aircond’. Aircond dalam bahasa Melayu merujuk kepada penghawa dingin. Namun, kesilapan pensyarah ini menunjukkan bahawa rakyat Malaysia sebenarnya tidak dapat lari daripada menggunakan bahasa Inggeris dalam bahasa Melayu. Contoh ini menunjukkan kepada kita bahawa tidak ada siapa-siapa yang sempurna sepenuhnya dalam menggunakan bahasa sehari-harian.


No comments:

Post a Comment