Friday, March 11, 2011

Situasi 34 : Perkataan Sinonim

Pada kelas Semantik pada minggu yang lepas, saya telah mempelajari perkataan sinonim dengan lebih mendalam. Sinonim pada asalnya ialah perkatan yang sama erti atau maknanya. Sinonim mempunyai perkaitan yang cukup rapat antara kata dengan makna. Dalam Kamus Linguistik, sinonim merupakan dua kata atau lebih yang mempunyai makna yang sama atau hampir sama dalam sesuatu bahasa. Walau bagaimanapun, perkataan sinonim ini perlu digunakan mengikut kewajarannya iaitu melihat kepada konteks ayat. Misalnya kata mati bersinonim dengan meninggal dunia tetapi penggunaanya adalah berbeza. Kata mati sesuai digunakan untuk haiwan manakala meninggal dunia dikhaskan untuk manusia. Keadaan ini bermaksud penggunaan perkataan sinonim perlu mempunyai nilai ‘rasa’ dan ada pengecualiannya. Saya merasakan masih ramai lagi yang tidak tahu menggunakan perkataan sinonim ini. Misalnya contoh di bawah ini mempunyai perbezaan walaupun perkataan tersebut bersinonim.
a)    Seri sudah hamil.
b)    Lembu Haji Bakhil telah bunting.
Hamil dan bunting mempunyai makna yang sama. Walau bagaimanapun, dalam contoh yang diberikan, penggunaan kata ‘hamil’ dan ‘bunting’ adalah bergantung kepada individu yang menggunakannya. Jika kita hendak menggunakan kata ‘bunting’ merujuk kepada manusia, jelas menggambarkan bahasa yang kasar dan tidak sedap didengar. Justeru, dalam kehidupan bermasyarakat kita perlu belajar dan bijak menggunakan kata sinonim supaya tidak menyinggung mana-mana pihak yang berkenaan. Pengajaran sinonim ini amat bermakna buat semua orang.




No comments:

Post a Comment