Thursday, March 10, 2011

Situasi 28 : ‘Hhaaah !’

Sudah menjadi kelaziman sewaktu kelas Karya Agung Prof. Abdullah Hassan, suasana di dalam kelas pasti sangat ceria dan menghiburkan. Kami sebagai pelajar sangat suka dengan cara Prof. mengajar dan jika ada kesilapan berbahasa beliau pasti bertindak membetulkannya secepat mungkin. Kemungkinan itulah keistimewaan Prof. di mata kami. Kebetulan, cerita yang ingin disampaikan ini berkaitan dengan cara atau gaya kita berbahasa yang perlu sopan apabila berinteraksi dengan orang lain. Semasa di dalam kelas, Prof. ada menyatakan tentang sesuatu yang saya sendiri sudah lupa perkara yang dibangkitkan. Apa yang pasti perkara tersebut mengejutkan pelajar termasuk saya sendiri. Lantas kami secara serentak terus menjawab, hhaaaaaa???? Kelazimannya, ‘hhaaaaa’ sering menunjukkan ekspresi terkejut dan akibat sudah biasa melakukan perkara tersebut kami turut berbuat demikian di hadapan Prof.. Prof. berhenti sekejap bercakap dan merenung kami dengan penuh makna. Beliau kemudian berkata,
“Cikgu..kenapa perlu buat ‘hhaaaaa’? Tidak sopan cikgu. Muka yang cantik pun boleh berubah menjadi buruk apabila kamu semua ‘hhhaaa hhhaaa hhhhaaaa’. Kena berubah cikgu.”
Kami semua pun tergelak melihat Prof. mengajuk cara kami berbuat demikian. Selang beberapa minit setelah beliau mengingatkan kami supaya tidak berbuat demikian, tiba-tiba seorang daripada kami mengulang kembali sebutan ‘hhaaaa’ itu. Prof. hanya menggelengkan kepala dan disambut hilaian ketawa daripada seluruh kelas. Pengajarannya ialah kita perlu menjaga perilaku semasa berbahasa kerana tanpa kita sedari cara dan gaya penyampaian itu kadang kala boleh memalukan diri kita sendiri.

No comments:

Post a Comment