Thursday, March 10, 2011

Situasi 26 : Bahasa Mencerminkan Bangsa

Semasa menunggu bas untuk ke pekan Tanjong Malim, saya secara tidak sengaja terdengar perbualan 3 orang pelajar wanita yang duduk bersebelahan dengan saya. Ketiga-tiganya seperti dalam keadaan yang tegang dan semacam tidak berpuas hati dengan sesuatu perkara. Tiba-tiba saya terdengara perkataan ‘kereta sapu’. Pada andaian saya sebelum itu, ketiga-tiganya pasti ada kaitan dengan kereta sapu. Ceritanya bermula apabila pelajar wanita 1 itu meluahkan perasaan tidak puas hatinya terhadap pemandu kereta sapu itu.
Pelajar 1 : Aku rasa menyampah je tengok pak cik tue. Kite susah payah call die suh amik pastu antar g pekan, ade ke patut suruh kite naik bas je pergi pekan.
Pelajar 2 : Ntah. Tak betul agaknya orang tua tue.
Pelajar 3 : Kalau takut sangat dengan polis, kenapa suka hati die je nak jadi kereta sapu? Masa polis ade block, baru nak takut.
Pelajar 1: Tau tak pe. Kite plak yang jadi mangsa. Sumpah dah pasnie aku tak naik lagi dah kete org tua tue !
Pelajar 3 : Aku fikirkan kita boleh sampai cepat kat pekan tadi. Hampeh tol !
Dialog yang terdapat di atas menunjukkan serba sedikit perbualan antara kumpulan pelajar tersebut. Sememangnya mereka tidak berpuas hati dengan pak cik kereta sapu yang menghantar mereka semula ke kampus kerana bimbang disekat oleh polis akibat tidak mempunyai lesen kenderaan awam.  Dari satu sudut, pak cik tersebut memang salah tetapi sebagai mahasiswi yang bakal menerajui pimpinan negara pada masa yang akan datang, saya merasakan ketiga-tiganya tidak patut memarahi pak cik tersebut dengan mengeluarkan kata-kata yang kasar yang langsung tidak menunjukkan budaya sebagai pendidik. Saya yang hanya mendengar perbualan mereka sudah berasa hati apatah lagi pak cik yang merupakan sasaran amukan tiga orang mahasiswi yang kurang bijak berkata-kata. Apatah lagi, bahasa yang dilontarkan tidak bersesuian dengan imej pada zahirnya. Perlu kita ingat, bahasa itu mencerminkan bangsa !

No comments:

Post a Comment