Thursday, March 10, 2011

Situasi 24 : Peribahasa Melayu

Setiap minggu dalam masa berkuliah itu, saya sentiasa menantikan kelas Pengajaran Teknologi dan Penaksiran 2 terutama semasa setiap kumpulan melakukan pengajaran makro. Pelbagai ragam yang boleh disaksikan dan gelagat yang lucu daripada rakan sekelas sangat menghiburkan untuk mengikuti kelas tersebut. Semasa pengajaran makro, terdapat sebuah kumpulan yang saya sendiri juga lupa orangnya tetapi pensyarah kami ada memberi komen, pandangan dan cadangan yang bernas tentang apa-apa yang diajarkan oleh kumpulan tersebut. Pada hari itu, kumpulan yang dimaksudkan telah menyelitkan sebuah peribahasa yang sememangnya ada digunakan dalam masyarakat Melayu. Peribahasa tersebut berbunyi, ‘buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali.’ Jika sekilas pandang, peribahasa tersebut dianggap sangat biasa dan pasti ada yang tertanya-tanya masalah yang ada di dalam peribahasa tersebut. Saya pada mulanya tidak merasakan ada sebarang masalah tetapi apabila saya mengamati lama-lama, barulah saya tersedar bahawa kritikan Encik Razali itu ada kebenaran. Berbalik semula pada peribahasa tersebut, ‘buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali.’ Sebenarnya pada akhir peribahasa tersebut iaitu buat jahat jangan sekali, terdapat kesilapan jika ditafsir secara teliti. Buat jahat jangan sekali jika hendak ditasirkan maksudnya yang sebenar ialah seolah-olah menyeru kita supaya berterusan melakukan kejahatan dan jangan sekadar melakukannya hanya sekali sahaja. Hal ini bermakna kita boleh melakukan kejahatan untuk kali kedua, ketiga dan seterusnya. Sebaliknya, jika peribahasa tersebut berbunyi, ‘buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sesekali.’ Begitulah peribahasa yang sepatutnya jika dilihat daripada konteks maknanya yang sebenar. Jika tersalah sebut di depan murid-murid, kita sebagai guru yang akan susah kerana peribahasa tersebut seolah-olah menggalakkan lagi perbuatan jahat dalam kalangan murid-murid. Apatah lagi jika murid itu bijak mentafsir maknanya yang sebenar.



No comments:

Post a Comment