Monday, February 21, 2011

Situasi 6 : Taklimat Praktikum

Terkenang kembali semasa taklimat praktikum seminggu yang lepas, pelbagai reaksi daripada rakan-rakan muncul kembali di benak saya. Ada yang lucu dan ada juga situasi yang menjadi tegang. Semuanya serba ada. Semasa taklimat praktikum Fakulti Bahasa dan Komunikasi program Bahasa Melayu yang dikendalikan oleh Encik Nik Hassan Basri selaku penyelaras praktikum fakulti, ia mengundang pelbagai reaksi yang positif dan negatif. Taklimat tersebut juga dihadiri oleh Ketua Jabatan iaitu Dato' Paduka Dr. Rosli Saludin serta pensyarah saya sendiri Dr. Siti Saniah. Kisahnya bermula apabila Encik Nik Hassan Basri memberikan peluang kepada kami untuk bertanyakan soalan tentang hal praktikum ini. Kawan saya, Nor Aliza seterusnya menjadi wakil dalam kumpulan kami di barisan belakang untuk bertanyakan soalan tentang penempatan praktikum yang hanya menempatkan di beberapa buah negeri sahaja. Isu itu menjadi isu hangat kerana pelajar-pelajar sukar untuk mencari tempat praktikum yang dirasakan bersesuaian dengan diri sendiri. Persoalan yang ditimbulkan oleh Nor Aliza ini telah membuatkan dewan kuliah DKC menjadi gamat dan kecoh apatah lagi disambut dengan tepukan meja oleh beberapa rakan yang lain yang bersetuju dengan kenyataan Nor Aliza ini. Keadaan pada masa tersebut seolah-olah seperti orang politik di dewan Parlimen. Tidak tahan dengan keadaan tersebut, Ketua Jabatan terus bersuara :
'Berbicaralah dengan sopan dan jika tidak berpuas hati, angkat tangan dan tidak perlu menepuk-nepuk meja. Perbuatan seperti itu tidak ubah seperti orang politik.'
Kami pun rasa bersalah dan ada juga kebenaran di sebalik teguran oleh Ketua Jabatan kami sebentar tadi. Sepatutnya perilaku dan bahasa yang digunakan perlu dikawal walaupun kita tidak suka dengan sesuatu keadaan yang mungkin menimbulkan perasaan tidak puas hati. Sekian.

No comments:

Post a Comment