Monday, February 21, 2011

Situasi 5 : "Ade ku Kesah !!'

Seperti biasa, berebut-rebut menaiki bas sememangnya sudah menjadi lumrah di institut pengajian ini. Apatah lagi jika semua pelajar pulang kuliah dan ketiadaan bas benar-benar menyukarkan keadaan. Saya sering kali mengalami peristiwa ini dan pernah suatu hari semasa pulang kuliah dari Proton City, begitu banyak pelajar yang menunggu bas dan keadaan pada masa itu sangat sesak dan sibuk. Bukan tiada bas tetapi pemandu bas sengaja menutup pintu dan tidak membenarkan pelajar masuk walhal banyak pelajar ketika itu. Sikap pemandu bas ini bukan sahaja keterlaluan tetapi menyusahkan pelajar-pelajar apatah lagi tidak sampai sejam, saya dan rakan-rakan yang lain ada kelas di tempat lain iaitu di Taman Bernam. Kami pada mulanya ingin segera sampai di dewan kuliah memandangkan jarak waktu yang sangat pendek. Namun, sikap pemandu bas yang sambil lewa menyukarkan keadaan dan ditambah pula dengan keadaan yang sesak dengan pelajar. Sebaik sahaja pintu bas yang pertama dibuka oleh pemandu bas itu, kelihatan semua pelajar berpusu-pusu meluru ke arah bas itu untuk masuk segera. Walau bagaimanapun, sebelum sempat kaki salah seorang pelajar menaiki anak tangga yang pertama itu, seorang pemandu bas berbangsa India segera menahan di muka pintu.
'Hey, kamu semua nak pergi mane nie??' ( muka yang agak kasar dan memperli )
Saya pantas menjawab kerana pemandu bas itu seolah-olah mempermainkan kami yang ingin segera ke dewan kuliah.
'Kami nak cepat nie. Pukul 2 petang ini kami ada kelas di Taman Bernam. Sekarang sudah pukul 1.15.'
Dengan angkunya, pemandu bas itu menjawab, 'Ade ku kesah !!'
Saya pun mula terasa dipermainkan dan pada waktu yang sama saya ingin melenting tetapi mengingatkan perilaku di depan orang ramai, saya perlu mengawal tingkah laku walaupun hati saya sakit. Begitu juga dengan rakan-rakan yang lain.
Bagi saya, sikap pemandu bas yang sengaja melewat-lewatkan perjalanan bas ke destinasi amat menyukarkan keadaan kami yang ingin segera sampai ke dewan kuliah. Apatah lagi bahasa yang digunakan seolah-olah sengaja menjatuhkan air muka orang menunjukkan mereka ini mempunyai sikap yang tidak menghormati orang lain. Bak kata orang, bahasa itu menunjukkan bangsa. Maka, janganlah kita memperlekehkan orang lain dengan bahasa yang tidak elok didengar. Sekian.

No comments:

Post a Comment